Ko Jin-Young juara Klasik Portland

LOS ANGELES, 20 SEPT – Pemain nombor dua dunia, Ko Jin-Young (gambar) semalam menjuarai Klasik Portland yang dipendekkan kepada 54 lubang susulan cuaca buruk sepanjang tahun.

Ko yang hilang ranking nombor satu dunia kepada Nelly Korda awal tahun ini menamatkan permainan dengan 11-bawah 205 untuk muncul juara dengan kelebihan empat pukulan.

Dia meraih kemenangan keduanya musim ini dan yang kesembilan dalam karier LPGA di Oregon Golf Club in West Linn, Oregon, kelmarin.

Penganjur membatalkan pusingan ketiga selepas hujan lebat turun di lapangan pada Jumaat lepas.

“Saya benar-benar mahu bermain semalam tetapi kami tidak boleh beraksi. Saya cuba melakukan bogey bebas hari ini dan berjaya,’’ kata Ko yang menyertai kejohanan terakhirnya di Olimpik Tokyo awal Ogos lalu.

Kejohanan itu turut mengalami nasib sama tahun lalu yang turut dipendekkan kepada 54 lubang susulan kualiti udara buruk akibat pembakaran hutan. Georgia Hall muncul juara selepas menewaskan Ashleigh Buhai pada pusingan kedua playoff.

Ko mendahului satu pukulan ketika pusingan ketiga dibatalkan tetapi pemain berusia 26 tahun itu meneruskan kecemerlangannya pada pusingan akhir.

Dia berjaya mengatasi Su Oh dari Australia dan rakannya dari Korea Selatan, Lee Jeong-Eun.

Oh dan Lee sama-sama memperoleh kejayaan terbaik dalam karier Jelajah LPGA mereka. Oh sebelum ini menduduki tempat kedua sebanyak tiga kali, sementara kedudukan teratas Lee kali terakhir di tangga ketiga. – AFP