SINGAPURA, 27 FEB – Juara bertahan, Ko Jin-young menyasarkan gelaran ‘tiga kali berturut-turut’ yang belum pernah berlaku sebelum ini apabila Kejohanan Dunia Wanita HSBC bermula di Singapura pada Khamis.
Selepas menamatkan saingan di tempat ke-20 pada acara LPGA Thailand Ahad lalu, Ko kembali ke tempat kegemarannya dengan harapan untuk menjadi pemain pertama memenangi tiga kejuaraan berturut-turut pada kejohanan yang digelar sebagai ‘kejohanan utama Asia’.
Pemain nombor enam dunia dari Korea Selatan itu memenangi kedua-dua edisi 2022 dan 2023 dengan hanya dua pukulan dan menjangkakan satu lagi pertandingan yang sengit ketika dia menyasarkan gelaran Jelajah LPGA ke-16.
“Terdapat ramai pemain yang hebat dalam padang dan semua orang ingin memenangi kejohanan ini, termasuk saya sendiri,” kata Ko yang berusia 28 tahun kepada wartawan di Kelab Golf Sentosa.
“Saya tidak boleh mengawal cara mereka bermain tetapi satu-satunya perkara yang boleh saya lakukan ialah mencuba yang terbaik dan melihat apa yang berlaku dari situ.
“Saya bermain back nine hari ini, dan terdapat sedikit perubahan dalam kedudukan pin dari tahun lepas. Bunker juga kelihatan lebih besar sedikit.
“Bukan mudah untuk bermain padang golf ini tetapi jika saya boleh memukul banyak fairway, dan green dan membuat banyak birdie seperti tahun lepas, saya akan baik-baik saja,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P23-1A-AFP_28022024.jpg)