Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Pemegang kod BruHealth berwarna kuning akan dibenarkan untuk menunaikan solat Fardu Jumaat di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bermula 3 Julai ini.
Kebenaran berkenaan telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut beliau, jemaah bolehlah membuat tempahan slot untuk menunaikan solat Fardu Jumaat mulai hari ini.
Sebelum ini, solat Fardu Jumaat di masjid-masjid, surau dan balai ibadat hanya dibenarkan untuk pemegang kod BruHealth berwarna hijau sahaja.
Salah seorang jemaah Masjid Kampung Setia Ali, Haji Salleh bin Ahmad berkata, kebenaran berkenaan merupakan berita yang sangat baik untuk semua.
“Kami berharap, para jemaah akan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa menggunakan penutup mulut dan hidung serta membawa sejadah berukuran besar,” tambah beliau ketika ditemu bual.
Beliau juga melahirkan harapan agar keadaan Negara Brunei Darussalam akan kembali seperti sedia kala, di mana mereka amat merindui mengadakan beberapa aktiviti masjid yang selalu diadakan seperti bertahlil secara berjemaah, mengadakan aktiviti Al-Quran dan Muqaddam pada hujung minggu dan banyak lagi.
Sementara itu, jemaah Masjid Kampung Tanah Jambu, Haji Sohaili bin Haji Mohidi pula menasihatkan pemegang kod kuning untuk yakin dengan diri sendiri, memastikan diri tidak dalam keadaan kurang sihat, sakit atau selesema kerana jika sebaliknya ia berpotensi menyebarkan perkara-perkara yang tidak diingini.
“Marilah kita sama-sama membendung penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, agar kita semua dapat menjalankan aktiviti harian kita dengan aman, selamat dan selesa.
“Untuk mencapai matlamat ini, orang ramai adalah dinasihatkan untuk sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan usaha dan inisiatif Kementerian Kesihatan berjalan dengan baik dan lancar,” ujar beliau.