MADRID, 1 NOV – Barcelona kini melalui empat perlawanan tanpa mencatat sebarang kemenangan selepas gagal menewaskan Alaves yang bermain dengan 10 orang kelmarin, keputusan seri 1-1 telah meletakkan pasukan Ronald Koeman berada di kedudukan ke-12 liga.
Luis Rioja meletakkan Alaves di hadapan dalam perlawanan yang berlangsung di Mendizorratza selepas kesilapan penjaga gol Barca, Neto, dan kemudian Antoine Greizmann berjaya menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua, selang seminit selepas Jota Peleteiro diarah keluar padang.
Tetapi dengan perlawanan berbaki hampir setengah jam dan mempunyai kelebihan seorang pemain, Barcelona masih gagal mengegar gawang untuk mencatat kemenangan, mereka terpaksa berpuas hati dengan setakat keputusan seri selepas tewas di tangan Getafe dan Real Madrid, dan satu lagi keputusan seri menentang Sevilla.
Ini bermakna Madrid, yang sebelum itu mencatat kemenangan 4-1 di laman sendiri ke atas Huesca, kini lapan mata di hadapan musuh dari Catalan, dengan mempunyai kelebihan satu perlawanan, sementara Atletico berada enam mata di hadapan selepas mereka menundukkan Osasuna 3-1. Atletico akan merampas kedudukan teratas liga jika sekiranya mereka berjaya memenangi kelebihan perlawanan. – AFP