WASHINGTON, 1 JUN – Rory McIlroy kelmarin berkata bahawa bintang Golf LIV, Brooks Koepka layak mendapat tempat dalam pasukan Piala Ryder Amerika Syarikat (AS) berikutan kejayaannya dalam Kejohanan PGA.
Koepka merangkul kejuaraan utama kelimanya di Kejohanan PGA awal bulan ini, hanya beberapa minggu selepas menduduki tempat kedua di Masters.
Keputusan itu telah menjadikan Koepka berada di tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan AS untuk pasukan Piala Ryder, bermakna pada kebiasaannya dia akan masuk ke dalam skuad AS.
Walau bagaimanapun, dengan Jelajah PGA dan Golf LIV yang bertelagah, masih tidak jelas sama ada pemain Golf LIV akan layak untuk bermain dalam Piala Ryder.
McIlroy, salah seorang pengkritik Golf LIV yang paling lantang bersuara, percaya bahawa Koepka sepatutnya berada dalam pasukan AS yang akan menentang Eropah di Kelab Golf dan Desa Marco Simone di Rom pada bulan September.

“Saya berpendapat Brooks layak berada dalam pasukan Amerika Syarikat,” kata McIlroy kelmarin menjelang Kejohanan Memorial Jelajah PGA minggu ini di Muirfield Village, Dublin, Ohio.
“Saya fikir dengan cara dia bermain, maksud saya, dia berada di kedudukan kedua dalam kedudukan AS.
“Saya tidak tahu sama ada terdapat orang lain dalam senarai LIV yang layak berdasarkan merit dan bagaimana mereka bermain.
“Tetapi Brooks pastinya seorang lelaki yang saya fikir layak untuk berada dalam pasukan AS.” – AFP