Koepka sedia beraksi dalam Piala Ryder

LOS ANGELES, 16 SEPT – Pemenang empat kali kejohanan major Brooks Koepka memberitahu Golf Week semalam bahawa dia ‘bersedia’ untuk beraksi dalam perlawanan Piala Ryder, walaupun ketika bekas kapten Amerika Syarikat (AS) mempersoalkan komitmennya.

Koepka menarik diri daripada Kejohanan Jelajah PGA AS pada bulan ini selepas mencederakan pergelangan tangan kirinya. Namun dalam komen kepada Golf Week semalam, dia berkata dia akan bersedia untuk memukul bola golf dalam perlawanan AS menentang Eropah di Whistling Straits minggu depan.

“Saya akan berada di sana. Saya sudah bersedia,” beritahunya kepada majalah itu menerusi pesanan teks. “Saya rasa sihat. Sedang menjalani pemulihan, melakukan segala yang saya perlu lakukan untuk mempersiapkan diri untuk Piala tersebut. Saya bersedia bermain di sana.”

Namun Koepka telah menimbulkan keraguan dengan komen dalam temu bual Golf Digest di mana dia mengatakan format pasukan Piala Ryder mungkin tidak sesuai untuknya.

“Ia agak pelik, jika saya bersikap jujur,” beritahu Koepka kepada majalah mengenai minggu Piala Ryder. “Saya tidak mahu berkata ia merupakan minggu yang teruk. Kami semuanya adalah individu dan semua orang mempunyai rutin mereka dan cara berlainan melakukan tugasan, dan sekarang kami perlu bertemu pada masa ini.

Sementara ramai pemain Piala Ryder bersemangat dengan peluang untuk bermain sebagai satu pasukan, Koepka nampaknya mengeluh struktur perlawanan ‘adalah jauh berbeza daripada rutin normalnya.’

Azinger, yang mengetuai pasukan AS memperoleh kemenangan kejohanan Piala Ryder 2008, tidak setuju dengan sikap berkenaan, apabila dia bercakap kepada wartawan menerusi panggilan video NBC Sports/Golf Channel.

“Brooks, apabila saya membaca artikel tersebut, saya tidak pasti dia suka Piala Ryder,” kata Azinger. “Jika dia tidak sukanya, dia harus melucutkan kedudukannya dan memberikannya kepada sesiapa yang suka Piala Ryder.” – AFP

Aksi Brooks Koepka semasa memukul bola di lubang ketiga dalam perlawanan pusingan kedua Tour Championship di Kelab Golf East Lake di Atlanta baru-baru ini. – AP