Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Seramai 14 orang pelajar menjadi kohort pertama yang menamatkan Kursus Bahasa Inggeris Umum yang ditawarkan di Pusat Bahasa Inggeris (ELC) Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) sebagai sebahagian daripada Kursus Bahasa Inggeris Komuniti.
Kursus Bahasa Inggeris Umum merupakan kelas kecekapan Bahasa Inggeris asas dengan memfokuskan kepada kemahiran percakapan bagi semua peringkat dan ia menyasarkan mereka yang ingin meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan ISB, para pelajar berkenaan mengikut kursus selama enam minggu yang merangkumi kerja berkumpulan, pembelajaran interaktif dan perbincangan. Sesi-sesi berkenaan dijalankan di ISB dan pada penghujung kursus ia dijalankan secara dalam talian berikutan situasi yang melanda dunia pada ketika ini.
ISB dalam kenyataannya menyatakan, kursus berkenaan mencatat kejayaan dan menerima maklum balas yang baik daripada para peserta yang menyatakan bahawa mereka akan menggunakan kemahiran dan teknik baharu yang dipelajari dalam kehidupan harian mereka.
Salah seorang pelajar turut menjelaskan bahawa kelas yang disediakan adalah baik dan memberikan pengalaman yang begitu baik kepada mereka.
“Guru sangat baik dan sungguh membantu, saya sangat selesa dengan pembelajaran yang dijalankan bersama rakan-rakan kelas lainnya,” jelasnya lagi.
Para pelajar yang berjaya menamatkan kursus berkenaan diberi peluang untuk mengikuti Kursus Bahasa Inggeris Umum 2 yang akan bermula pada Jun depan. Pendaftaran bagi kursus ELC telah bermula pada ketika ini dan di samping kursus Bahasa Inggeris asas berkenaan, ELC turut menawarkan kelas Bahasa Inggeris bagi persiapan menduduki IELTS dan IGCSE/GCSE, dan Business English Language Skills.
