Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kohort pertama YSBEA dirasmikan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Seramai 11 wakil belia dari negara anggota ASEAN dan Timor Leste hari ini telah diraikan dalam Majlis Perasmian Kohort Pertama Youth Sounding Board for EU in ASEAN (YSBEA), di Jakarta, kelmarin.

    Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Dayang Norfatina binti Mohd Afand, 24 tahun, seorang graduan sosiologi dan antropologi yang mempunyai semangat yang mendalam terhadap kesaksamaan jantina, khususnya dalam konteks masyarakat Asia Tenggara yang pelbagai.

    Dayang Norfatina semasa pembentangannya menjelaskan beliau berhasrat untuk mendapatkan pandangan tentang mengatasi dasar dan halangan tradisional terhadap kesaksamaan jantina dan mengetahui lebih lanjut tentang rangsangan perubahan sosial.

    Beliau percaya sebagai sebuah blok yang pelbagai, ASEAN mempunyai potensi untuk menambah baik dan meneruskan perbincangan mengenai kesaksamaan jantina.

    “Menyertai YSBEA membolehkan saya berhubung dengan individu yang berfikiran sama dan memperoleh pandangan berharga, yang boleh menyumbang kepada pembangunan masa depan pemerkasaan wanita di Brunei,” katanya.

    Dayang Norfatina mewakili belia Brunei Darussalam semasa YSBEA yang diadakan di Ibu Pejabat ASEAN, di Jakarta. – GAMBAR SERAHAN EU ASEAN
    Ahli YSBEA dan TYT Sujiro Seam ketika membuat kunjungan hormat kepada Nararya S Soeprapto. – GAMBAR SERAHAN EU ASEAN

    Terdahulu, perasmian YSBEA itu telah disempurnakan oleh Duta Kesatuan Eropah (EU) ke ASEAN, Tuan Yang Terutama Sujiro Seam. Inisiatif penubuhan YSBEA antara lain bertujuan untuk meningkatkan penglibatan golongan muda dalam kerjasama EU-ASEAN untuk bertindak sebagai kumpulan penasihat belia kepada delegasi EU.

    Pada majlis perasmian itu, TYT Sujiro Seam dalam ucapan perasmian antara lain menekankan bahawa pemilihan ahli YSBEA adalah satu pengiktirafan terhadap kualiti kepimpinan cemerlang dan pencapaian yang mengagumkan.

    Katanya lagi, “YSBEA akan menyediakan ruang dan platform perundingan untuk golongan muda mengukuhkan perkongsian strategik EU dengan ASEAN di mana penyertaan YSBEA akan menjadikan tindakan EU lebih relevan dan berkesan bagi golongan muda.”

    Beliau seterusnya menjelaskan, “Golongan muda adalah pembuat perubahan dan rakan kongsi penting dalam memastikan kejayaan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan dan Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim.”

    Di samping itu, menurutnya, belia juga mempunyai peranan penting dalam menentukan masa depan rantau ini iaitu untuk membina masa depan yang lebih baik, hijau, inklusif dan digital.

    Ahli YSBEA juga berpeluang membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Setiausaha Agung (DSG) ASEAN bagi Hal Ehwal Komuniti dan Korporat ASEAN, Nararya S Soeprapto.

    Seramai 11 wakil belia tersebut merupakan aktivis muda yang bersemangat dalam bidang alam sekitar dan perubahan iklim, pendidikan, sains dan teknologi, hak asasi manusia, jantina, keusahawanan dan kesihatan.

    Perasmian YSBEA adalah sebahagian daripada fasa asrama selama tiga hari yang terdiri daripada program induksi dan bimbingan mengenai alam sekitar dan tenaga; digital dan infrastruktur; kesaksamaan jantina; pembangunan manusia; penghijrahan dan pemindahan paksa; hak asasi manusia, keamanan dan tadbir urus; serta pertumbuhan dan pekerjaan yang mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda