Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Koir rentas generasi bina komuniti melalui nyanyian

    Oleh Zalina Mohd Som –

    Pada usia 61 tahun, Chin Siew Mui benar-benar memahami erti memikul beban yang berat. Bekas pegawai bank itu, salah seorang daripada 12 beradik, telah lama menjadi penjaga setia kepada ibunya dan baru-baru ini kehilangan bapanya.

    Namun, apabila beliau berbicara tentang kehidupannya dan minat baharunya, ketenangan dan ketabahannya terserlah melalui senyumannya yang lembut serta nada suaranya yang tenang.

    “Saya sedar pada satu ketika dalam hidup saya bahawa saya pernah melalui kemurungan dan bahawa menyanyi membantu saya untuk sembuh,” kata Chin.

    “Saya menyanyi ketika sedih dan saya juga menyanyi ketika gembira. Sekalipun kini saya perlu menjaga ibu saya, masa menyanyi adalah masa untuk diri sendiri. Ia membuatkan saya berasa lebih baik, ringan dan gembira.”

    Chin bukan sahaja menyanyi di rumah; dia turut menyanyi di pentas bersama Kita Canta Wellbeing Community Choir (KCW).

    Chin berkata bahawa menyanyi membuatkannya berasa lebih ringan dan gembira. – ANN/The Star
    Keistimewaan KCW ialah koir ini tidak memerlukan sebarang ujian kemasukan atau syarat kelayakan dan sengaja tidak menekankan kesempurnaan. – ANN/The Star
    Kehadiran warga emas dalam koir rentas generasi ini menambah “kebijaksanaan, kisah hidup dan hubungan emosi yang mendalam terhadap lagu-lagu,” kata Goh (berdiri, hujung kiri). – ANN/The Star
    Kita Canta bukan sekadar koir, ia merupakan sebuah komuniti kesejahteraan. – ANN/The Star

    YANG PERTAMA SEUMPAMANYA

    Ditubuhkan pada Mei 2023 oleh konduktor koir dan pejuang kesihatan mental, Darlyn Goh, bersama ahli akademik Janice Kaur, KCW menggelarkan dirinya sebagai koir kesejahteraan pertama di Malaysia.

    Walaupun masih baharu, misinya jelas iaitu menjadikan sokongan kesihatan mental dapat diakses melalui muzik.

    Sejak ditubuhkan, KCW telah bekerjasama dengan pelbagai organisasi, mengumpul dana untuk badan amal dan membuat persembahan di festival, sekali gus membina reputasi sebagai koir yang terbuka kepada semua.

    Keistimewaan KCW ialah tiada sebarang ujian kemasukan atau syarat kelayakan dan mereka sengaja tidak menekankan kesempurnaan.

    “Kita Canta bukan sekadar koir. Ia adalah komuniti kesejahteraan,” kata Goh. “Matlamat kami ialah hubungan, bukan kesempurnaan.”

    Berbeza dengan koir tradisional yang menumpukan kepada persembahan atau pertandingan, KCW memberi tumpuan kepada penciptaan ruang yang selamat, menyokong dan menggembirakan, di mana sesiapa sahaja boleh menyanyi tanpa tekanan.

    “Semua orang dialu-alukan dan keterbukaan ini menjadikannya mesra untuk warga emas atau penyanyi muda yang mungkin berasa ragu untuk menyertai kumpulan berorientasikan persembahan,” tambahnya.

    Bagi menyesuaikan diri dengan ahli koir yang berusia, sesi latihan diatur dengan kadar yang selesa, lagu-lagu dipilih agar mudah dinyanyikan dan waktu khas diperuntukkan untuk aktiviti yang dipanggil Circle Time.

    “Kami mahu semua orang berasa disertakan dan dihargai ketika Circle Time iaitu 10 minit selepas sesi nyanyian, di mana mereka bergilir berkongsi kisah, ketawa dan berhubung,” jelas Goh. “Itu sama pentingnya dengan menyanyi bersama.”

    Chin pertama kali mengetahui tentang KCW melalui seorang rakan daripada koir lain dan segera tertarik dengan harmoni pelbagai suaranya.

    “Saya selalu ingin menjadi ahli koir sejak di sekolah, tetapi saya pemalu dan bukan penyanyi yang baik,” katanya. Menyertai KCW, katanya, akhirnya merealisasikan impian yang lama tersimpan.

    DI MANA MUZIK MENYEMBUHKAN

    Menyedari bahawa muzik mempunyai kuasa terapeutik, KCW meletakkan dirinya sebagai jambatan antara kesejahteraan mental dan sokongan komuniti.

    “Kami mahu meruntuhkan dua halangan, stigma terhadap kesihatan mental dan tanggapan bahawa menyanyi hanya untuk yang berbakat,” jelas Goh. “Menyanyi adalah sebahagian daripada sifat manusia dan semua orang berhak menikmatinya.”

    Bagi warga emas, katanya, manfaatnya nyata iaitu menyanyi boleh mengurangkan kesunyian, mencetuskan kegembiraan dan memberi makna hidup.

    “Saya lihat warga emas yang dahulunya pendiam dan ragu-ragu kini lebih terbuka, banyak tersenyum, mendapat rakan baharu dan menemui semula kegembiraan dalam meluahkan diri,” tambahnya.

    “Menyanyi membangkitkan memori dan emosi. Ia boleh menjadi terapi dan penenang jiwa, terutama bagi mereka yang melalui kehilangan atau perubahan hidup.”

    Selain manfaat mental, Goh menjelaskan bahawa menyanyi juga memberi kesan fizikal dan sosial.

    “Secara fizikal, ia membantu pernafasan, postur dan kekuatan suara. Secara emosi, ia memberi keyakinan apabila tampil di hadapan penonton dan pembelajaran lagu baharu mengekalkan minda aktif,” katanya.

    “Ramai warga emas memberitahu saya bahawa mereka berasa muda semula kerana mereka belajar, ketawa dan menyanyi bersama rakan.”

    Chin bersetuju sepenuhnya.

    “Di pentas, saya tidak lagi pemalu. Kami menyanyikan lagu seperti I’ll Be There dan That’s What Friends Are For yang mencerminkan persahabatan kami. Ia benar-benar terasa seperti keluarga, dengan ahli muda yang seperti anak saudara saya, mereka membuatkan saya rasa muda semula.”

    MENYANYI DALAM BAB kehidupan SETERUSNYA

    Jika Chin menemui ruang penyembuhan melalui koir, ahli koir lain, Eric Chan, pula menjadikannya pintu kepada pengembaraan baharu selepas bersara.

    Berusia 60 tahun, Chan dilahirkan di Hong Kong, belajar dan bekerja di Amerika Syarikat sebelum berpindah ke Malaysia hampir tiga dekad lalu.

    Selepas bersara daripada kerjaya pembangunan hartanah dan pulih daripada penyakit buah pinggang, beliau memutuskan untuk menjalani hidup sepenuhnya.

    “Saya sedar hidup ini terlalu singkat untuk tidak mencuba perkara baharu,” katanya. “Daripada memperlahankan langkah, saya kini lebih sibuk, bermain pickleball, menari berbaris, menjadi penyokong sorak, menyertai pertandingan peragaan. Dan kini, koir.”

    Ketika menyertai latihan pertama KCW, Chan mengakui dia gugup. “Saya tidak tahu membaca not muzik, mengira rentak, atau mengawal suara. Apatah lagi menyanyi di hadapan orang ramai.”

    Namun, debaran itu cepat reda apabila disambut dengan kehangatan dan sokongan daripada semua ahli.

    “Hari itu saya sedar, saya bukan sekadar menemui sebuah koir. Saya menemui komuniti,” katanya.

    Bagi Chan, kehidupan sebagai ahli koir lebih daripada sekadar nyanyian.

    “Harmoni yang kami cipta lebih kuat daripada suara individu. Secara emosi, ia membawa kegembiraan dan tenaga; secara sosial, ia memberi persahabatan dan rasa diterima; secara fizikal, latihan pernafasan memperbaiki postur dan kesihatan saya. Ia memperkayakan persaraan saya jauh melampaui jangkaan.”

    MUZIK MERENTASI GENERASI

    Kehadiran warga emas, kata Goh, amat penting dalam dinamik koir kerana mereka membawa “kebijaksanaan, pengalaman hidup dan hubungan emosi yang mendalam terhadap lagu-lagu yang dinyanyikan.”

    Bagi Goh, gabungan generasi ini menyampaikan mesej bahawa muzik dan penyembuhan tidak mengenal usia.

    “Mereka mengingatkan kita bahawa muzik bukan sekadar not di atas kertas, tetapi pengalaman hidup. Mereka menjadi contoh keberanian dan keterbukaan, menunjukkan kepada generasi muda bahawa tidak pernah terlalu lewat untuk belajar, berkembang dan menemui kegembiraan dalam komuniti,” katanya.

    Menggambarkan kumpulan itu sebagai komuniti yang indah, Goh menambah, “Kadang-kadang kita mungkin tidak mempunyai hubungan baik dengan keluarga di rumah, tetapi di sini, kita semua seperti keluarga dan mudah-mudahan itu membantu memperbaiki hubungan kita di luar koir juga.”

    Chan turut bersetuju. “Menyanyi bersama mereka mengingatkan saya bahawa muzik menghubungkan generasi dan kita boleh saling memberi inspirasi tanpa mengira usia.”

    Sebagai sebahagian daripada komuniti yang menghargainya, Chan berharap dapat menginspirasi rakan-rakan sebayanya.

    “Hidup ini singkat. Kita harus menikmatinya, kekal sihat dan gembira. Jangan hanya duduk di rumah; sertai sesuatu seperti ini dan awda akan terkejut betapa hidupnya perasaan itu.”

    Chin menambah, “Saya sentiasa berasa lebih baik dan gembira selepas kelas koir. Muzik menyembuhkan jiwa.”

    Berkat keyakinan yang diperoleh daripada latihan dan persembahan, Chin kini selesa menyanyi dalam bahagian soprano mahupun alto, sesuatu yang tidak pernah beliau bayangkan dahulu.

    “Saya harap orang ramai melihat bahawa muzik dan penyembuhan tidak mengenal usia. Apabila mereka melihat warga emas menyanyi bersama yang lain, ia menyampaikan mesej kuat bahawa komuniti dan ke-sejahteraan adalah untuk semua,” simpul Goh. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda