MOSCOW, 16 JULAI – Rusia hari ini mengumumkan rampasan 820 kilogram kokain yang disembunyikan dalam kontena penghantaran pisang, menjadikannya rampasan dadah terbesar dari Amerika Latin ke negara itu bagi tahun ini.
Akhbar Rusia Izvestia melaporkan aktiviti penyeludupan kokain ke Rusia telah meningkat secara mendadak sejak dua tahun lalu.
Negara itu kini menjadi tumpuan baharu bagi sindiket pengedaran dadah disebabkan pelabuhan Odesa di Ukraine tidak boleh diakses susulan serangan Rusia.
Perkhidmatan kastam Rusia, bersama dengan perkhidmatan keselamatan FSB, berkata mereka menemui sejumlah besar dadah bernilai lebih 12 bilion rubel (AS$153 juta) tersembunyi dalam kontena berisi pisang.
Kokain itu dibungkus dalam bentuk blok mampat dan dilabelkan dengan jenama fesyen mewah Perancis, ditemui dalam ruang tersembunyi di bawah timbunan pisang, menurut kenyataan pihak berkuasa.
Rampasan tersebut dibuat hasil risikan daripada ‘rakan asing’ berhubung rancangan sebuah kumpulan jenayah dari Amerika Selatan untuk menubuhkan saluran penyeludupan kokain ke Rusia.
Satu siasatan kini sedang dijalankan atas tuduhan penyeludupan dadah berskala besar, yang di bawah undang-undang Rusia boleh membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup. – AFP
