SOFIA, BULGARIA, 20 JULAI — Pihak berkuasa sempadan Bulgaria hari ini memaklumkan bahawa mereka telah merampas salah satu jumlah terbesar kokain yang ditemui dalam sebuah van berdaftar di Belgium yang sedang dalam perjalanan menuju ke Turkiye.
Menurut pegawai kastam, kokain seberat hampir 206 kilogram itu merupakan rampasan terbesar di sempadan darat Bulgaria setakat ini. Pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut membawa kepada penemuan dadah yang dianggarkan bernilai €20 juta (AS$22 juta).
Dadah itu disembunyikan dalam 179 beg kedap udara yang diletakkan bersama barangan peribadi dalam lima beg pakaian.
Pendakwa Daerah Haskovo, Ivan Stoyanov, mengenal pasti tiga individu yang cuba menyeberangi sempadan ke Turkiye, termasuk seorang diplomat berusia 40 tahun dari Republik Demokratik Congo yang diakreditasi di Belgium, seorang warga Belgium berusia 54 tahun dan seorang pemandu warga Bulgaria berusia 43 tahun.
Stoyanov berkata kepada wartawan bahawa mereka boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun sekiranya disabitkan kesalahan menyeludup dadah.
Satu siasatan telah dilancarkan bersama agensi rakan kongsi dari negara-negara anggota EU yang lain bagi mengenal pasti asal usul kokain serta penerima akhir dadah berkenaan.
Bulgaria, yang telah mengambil beberapa langkah tegas dalam memerangi penyeludupan dadah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dianggap sebagai titik transit penting dalam laluan penyeludupan dadah Balkan, yang digunakan untuk menghantar heroin dari Asia dan Timur Tengah ke Eropah Barat, serta kokain dari Amerika Latin. – AFP
