Saturday, November 16, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kokain dengan simbol Nazi dirampas

    LIMA, 26 MEI – Pegawai antinarkotik di Peru merampas ketulan mampat bata kokain seberat 58 kilogram (kg) dalam bungkusan tertera simbol Nazi serta nama Hitler yang disasarkan dihantar ke Belgium, kata polis semalam.

    Dadah itu disembunyikan dalam 50 bungkusan sebesar bata dengan setiap satu tertera tanda swastika atau lambang Nazi pada bungkusannya, menurut gambar yang dikeluarkan oleh polis.

    Beberapa bungkusan yang dibuka menunjukkan perkataan Hitler ditulis dengan tulisan timbul pada serbuk putih yang dimampatkan.

    Dadah itu ditemui dalam bot yang mengibarkan bendera Liberia di bandar pelabuhan kecil utara Paita, berhampiran sempadan dengan Ecuador.

    Ia dikesan dihantar dari Guayaquil, bandar pelabuhan Ecuador yang dikenali sebagai pusat pengedaran utama untuk dadah dari Amerika Selatan memasuki Amerika Syarikat dan Eropah.

    Bagaimanapun, polis tidak menyatakan sama ada sesiapa ditangkap. Walaupun tangkapan dadah tidak asing bagi polis di Peru, bungkusan tertera lambang Nazi adalah sesuatu yang baharu.

    Pihak berkuasa Peru merampas 22 tan kokain pada 2022. Peru adalah pengeluar kokain kedua terbesar di dunia selepas Colombia, dengan keluaran kira-kira 400 tan setahun, menurut angka rasmi. – AFP

    Gambar serahan Polis Antidadah Peru menunjukkan blok kokain yang ditanda dengan swastika Nazi di pelabuhan Paita, rantau Piura, Peru pada 25 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda