Kokain ditemui di dalam perut

BANGKOK, 22 OGOS – Seorang lelaki warga Kenya ditahan di lapangan terbang di sini, selepas didapati cuba menyeludup lebih 60 bungkusan kokain yang ditemui di dalam perutnya.

Pihak berkuasa berkata, Glenn Chibasellow Ooko, 43, tiba dari Etiopia pada Isnin lalu, sebelum ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, di sini.

Hasil pemeriksaan imbasan X oleh Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) berjaya mengesan puluhan bungkusan di dalam perutnya, yang kemudiannya disahkan mengandungi kokain.

“Beliau menelan kokain seberat 1.2 kilogram yang disimpan dalam 68 bungkusan,” kata ONCB dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu, polis berkata, Ooko ditahan bersama seorang warga Nigeria, Osita Joseph Ukpa yang disyaki mengupah warga Kenya itu untuk menyeludup dadah terbabit.

“Ia adalah sebahagian daripada rangkaian dadah di Thailand,” kata kenyataan itu.

Thailand telah lama menjadi hab penyeludupan dadah utama terutamanya di kawasan sempadannya, di mana penguatkuasaan undang-undang yang lemah menjadikannya mudah bagi rangkaian jenayah transnasional untuk menyeludup barangan mereka.

Negara ini juga berfungsi sebagai titik transit bagi laluan jenayah perdagangan dadah methamphetamine, diseludup melalui Myanmar dan Laos sebelum beralih ke negara-negara lain seperti Australia dan Jepun – AFP