Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Koperasi Kampung dan Mukim Negara Brunei Darussalam Berhad (KOKAMI) mengadakan Mesyuarat Agung Khas hari ini untuk melantik ahli lembaga pengarah yang baru bagi sesi 2017-2018.
Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Pusat Pekerjaan Brunei, Jabatan Perdana Menteri dipengerusikan oleh Pengiran Haji Mohd Salleh bin Pengiran Haji Kamaluddin.
Selain melantik ahli-ahli lembaga pengarah yang baru, mesyuarat tersebut turut membincangkan pelbagai perkara antaranya ialah permasalahan-permasalahan yang dihadapi untuk difikirkan bersama oleh ahli-ahli KOKAMI bagi kepentingan koperasi itu.
Pengiran Haji Mohd Salleh ketika ditemui menjelaskan, mesyuarat hari ini bersetuju melantik sembilan orang ahli lembaga pengarah termasuk beliau sendiri.
“Sebenarnya kuota bagi ahli lembaga pengarah ialah seramai 15 orang dan proses pelantikan masih belum selesai. Kami bercadang untuk membahagikan dua kuota bagi setiap Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong,” tambahnya yang kini memegang jawatan Pengerusi sementara.


Katanya, selepas kuota ahli lembaga pengarah yang baru dipenuhi, mereka selaku ahli-ahli lembaga pengarah akan mengadakan satu lagi mesyuarat bagi melantik pengerusi, setiausaha agung dan bendahari agung.
Beliau berkata, seorang warga belia turut dilantik menjadi ahli lembaga pengarah hari ini dan mereka memerlukan lebih ramai daripada kalangan belia untuk terlibat dalam koperasi ini sebagai barisan pelapis untuk meneruskan perusahaan KOKAMI di masa akan datang. Pengiran Haji Mohd Salleh juga menjelaskan bahawa KOKAMI wujud sejak 10 tahun yang lalu, namun gagal untuk mengadakan mesyuarat tahunan (AGM) atas sebab-sebab yang tertentu dan mereka perlu pembaharuan terhadap koperasi tersebut.
KOKAMI adalah koperasi terbesar di Negara Brunei Darussalam dan visinya telah menjelaskan bahawa ia adalah koperasi rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, katanya sambil menambah bahawa terdapat satu visi yang tertentu yang ingin KOKAMI capai dan salah satunya adalah mengenai membasmi kemiskinan.
“Oleh itu, saya percaya bahawa koperasi adalah enjin pertama dalam perkembangan ekonomi di Brunei. Namun ia memerlukan perlaksanaan dari kerajaan dalam Cadangan 193 ILO (ILO Recommendation 193). Ini adalah polisi yang patut diujudkan dan dilaksanakan bagi membantu pergerakan koperasi di Brunei,” ujar beliau.