Thursday, March 6, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kolaborasi libatkan pelbagai agensi tangani kes buli

    Oleh: Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Dalam menangani isu buli, gangsterism dan penyalahgunaan dadah, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan Surat Pemberitahuan Kementerian Pendidikan Bil. 2/2025 yang menetapkan garis panduan serta tatacara tindakan di peringkat sekolah untuk menangani isu-isu tersebut.

    Melalui surat pemberitahuan berkenaan, jika pelajar itu didapati telah melakukan kesalahan-kesalahan yang disebutkan itu, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah akan menjalankan tindakan yang bersesuaian mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada serta akan berkolaborasi dengan agensi yang berkenaan apabila diperlukan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Agama, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) serta Biro Kawalan Narkotik.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Dayang Hajah Romaizah binti Haji Salleh ketika menjawab persoalan dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed mengenai usaha Kementerian Pendidikan dalam menangani isu buli, gangsterism dan penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Tindakan-tindakan yang dijalankan ialah pertama, menjalani internal suspension di peringkat sekolah selama 5 hingga 10 hari persekolahan di mana pelajar dimestikan hadir ke sekolah untuk mengikuti pembelajaran di bawah seliaan oleh pegawai yang dilantik di samping membuat kerja-kerja kemasyarakatan sama ada di sekolah atau di luar sekolah dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan atau bukan kerajaan yang bersesuaian.

    Tindakan kedua ialah pelajar dikehendaki untuk menandatangani surat perjanjian tidak mengulangi kesalahan dan mematuhi peraturan di hadapan ibu bapa / penjaga dan pihak sekolah.

    Tindakan ketiga ialah ibu bapa / penjaga juga dikehendaki menandatangani surat persetujuan untuk membenarkan anak atau anak di bawah jagaannya menjalani tindakan-tindakan yang dikenakan oleh pihak sekolah dan pelajar juga dikehendaki untuk mengikuti sesi kaunseling di sekolah.

    Sekiranya pelajar yang sama mengulangi kesalahan yang dinyatakan itu, pelajar berkenaan dikehendaki mengikuti program khas di bawah kendalian Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi tempoh bersesuaian yang akan ditetapkan kemudian.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menerangkan lebih lanjut bahawa langkah pencegahan berasaskan pendidikan dan kaunseling telah dilaksanakan melalui modul-modul kesedaran dan program intervensi yang bertujuan untuk mendidik pelajar supaya tidak terjebak dalam pengaruh negatif sebelum isu berkenaan menjadi lebih serius.

    Di samping itu, Kementerian Pendidikan akan turut sentiasa membuat pemantauan ketat secara berjadual bagi mengawas pelajar sepanjang waktu persekolahan, mengadakan program dan aktiviti kesedaran kepada pelajar dari masa ke semasa serta mengadakan Program BEST (anti buli) yang dijalankan sebagai Program Tahunan di semua peringkat persekolahan pada setiap tahun.

    “Sekiranya terdapat kejadian yang melibatkan unsur jenayah atau penyalahgunaan dadah, pihak berkuasa seperti Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan agensi berkaitan turut terlibat untuk tindakan segera.”

    Dalam menjawab persoalan yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Omas mengenai antara punca terjadinya kes buli, Yang Berhormat Datin menjelaskan kajian yang mendapati antara faktor terjadinya kes berkenaan ialah pengaruh tingkah laku agresif atau ganas oleh ibu bapa terhadap pelajar di rumah atau pelajar sendiri menyaksikan ahli keluarganya dipukul atau didera.

    Faktor lain ialah pelajar yang kurang displin dan didikan agama di rumah, pengaruh kawan sebaya dan persekitaran tempat tinggal serta pelajar yang merasakan dirinya tidak dapat dicabar.

    Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah mendedahkan laporan yang dikumpulkan sejak tiga tahun lepas telah menunjukkan tren yang menurun bagi kes-kes buli di sekolah iaitu penurunan sebanyak 734 pada 2023 kepada 447 pada 2024.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda