Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kolaborasi strategik majukan literasi pelaburan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Dengan matlamat memajukan literasi pelaburan, kesedaran pasaran modal, pendidikan kewangan dan kolaborasi penyelidikan di Negara Brunei Darussalam, Baiduri Capital memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang menandakan bermulanya kerjasama strategik dalam majlis penandatanganan yang berlangsung di Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini.

    Di bawah perjanjian berkenaan, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menyampaikan pelbagai inisiatif yang menyokong pembangunan pelajar dan penglibatan akademik dalam pelaburan dan kewangan, termasuk penganjuran bersama ceramah, pertandingan perdagangan saham dan program jangkauan khusus bagi komuniti UBD.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Dalam majlis itu, menandatangani bagi UBD ialah Naib Canselor, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri dan Pengerusi Baiduri Capital, Ti Eng Hui menandatangani bagi Baiduri Capital.

    Penandatanganan disaksikan Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan), Dr Masairol bin Haji Masri dan Pengurus Besar Baiduri Capital, Brian Wong.

    Dr Hazri dan Ti Eng Hui bertukar dokumen selepas penandatanganan MoU. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Gambar ramai semasa majlis penandatanganan antara Baiduri Capital dan UBD yang berlangsung di Ibu Pejabat Bank Baiduri, kelmarin. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    Dalam ucapannya, Dr Hazri menekankan pentingnya kolaborasi dalam menyokong aspirasi negara yang digariskan dalam Rangka Kerja Kompetensi Kewangan Brunei Darussalam dan Wawasan Brunei 2035, sambil mengambil maklum MoU berkenaan adalah selaras dengan matlamat institusi dan akademik UBD khusus dalam usahanya untuk melengkapkan pelajar-pelajar dengan kemahiran praktikal dan siaga masa depan merentas disiplin.

    Walaupun kerjasama berkenaan secara langsung akan meningkatkan pendidikan pelaburan dan kewa-ngan di Sekolah Perdagangan dan Ekonomi UBD (UBDSBE), ia juga menyediakan peluang bagi penglibatan bermakna di seluruh institut penyelidikan dan fakulti lain UBD.

    Kerjasama itu selaras dengan pelancaran program lepasan gra-duan baharu yang ditawarkan oleh UBDSBE iaitu Sarjana Sains dalam Kewangan Islam dan Analitik Data.

    Program berkenaan direka untuk melengkapkan graduan dengan asas yang kukuh dalam kewangan beretika dan pembuat keputusan berpandukan data di mana ia merupakan kemahiran yang semakin meningkat dalam permintaan di seluruh landskap kewangan yang berubah.

    Tumpuan utama kerjasama adalah integrasi Baiduri Invest, platform perdagangan dalam talian baharu Baiduri Capital, ke dalam kurikulum universiti.

    Baiduri Invest yang dilancarkan pada 2024, mengintegrasikan peralatan analisis, data pasaran terkini dan sokongan tempatan khusus, direka untuk memenuhi keperluan pelaburan baharu dan yang berpengalaman.

    Sementara itu, Ti Eng Hui dalam ucapan alu-aluannya menyatakan UBD telah lama dikenali sebagai sebuah institusi unggul di Brunei dan serantau di mana ia secara konsisten berada di kedudukan antara universiti terbaik Asia selain penekanannya kepada inovasi, penyelidikan antara disiplin serta pembelajaran dunia sebenar.

    Pendekatan berpandangan ke hadapan dan komitmennya untuk memupuk graduan siaga masa depan, tambahnya, menjadikan UBD sebagai rakan kongsi semula jadi bagi mereka.

    Mengulas lanjut, Brian Wong berkata kerjasama yang dijalin membolehkan mereka menjana pengalaman pembelajaran bermakna untuk mempersiapkan para pelajar dengan realiti melabur dalam pasaran modal.

    Di samping sokongan akademik, MoU itu juga akan membuka laluan bagi penyelidikan bersama dalam topik-topik berkaitan pasaran dan pelaburan yang menjejaskan sentimen pasaran tempatan dan global.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda