Kolam paling dalam di dunia dibuka

MSZCZONOW, POLAND, 22 NOV – Sebuah kolam selam sedalam 45.5 meter dengan gua dalam air tiruan dan puing Mayan, struktur paling dalam seumpama itu di dunia, dibuka berhampiran Warsaw pada hujung minggu ini.

Kompleks itu, dinamakan Deepspot, malah termasuk bangkai kapal kecil untuk juruselam bebas dan skuba menjelajahinya.

Ia mempunyai air sebanyak 8,000 meter padu, lebih 20 kali daripada jumlah dalam kolam biasa 25 meter.

Tidak seperti kolam renang biasa, Deepspot boleh dibuka meskipun sekatan koronavirus di Poland disebabkan ia merupakan sebuah pusat latihan yang menawarkan kursus.

Sebuah hotel dan bilik di mana tetamu boleh menyaksikan juruselam menyelam pada kedalaman lima meter juga dirancang diadakan.

“Ia adalah kolam paling dalam di dunia,” beritahu pengarah Deepspot Michal Braszczynski, penggemar sukan selam berusia 47 tahun, kepada AFP pada pembukaan semalam.

Pemegang rekod dunia Guinness sekarang adalah Montegrotto Terme di Itali dan ia mempunyai kedalaman 42 meter. Kira-kira satu dozen pelanggan datang pada hari pertama, termasuk lapan juruselam berpengalaman yang berharap untuk lulus peperiksaan untuk menjadi pengajar.

Braszczynski berkata kolam itu ‘juga akan digunakan oleh anggota bomba dan tentera. Terdapat banyak senario untuk latihan dan kami boleh menguji pelbagai peralatan berlainan.”

Kira-kira 5,000 meter padu konkrit digunakan untuk membina kolam itu dalam tempoh dua tahun dan ia menelan kos 40 juta zloty. – AFP

Seorang penyelam kelihatan dalam kolam selam paling dalam dengan 45.5 meter yang terletak di Mszczonow, 50km dari Warsaw, pada 21 November 2020. – AFP