Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kolam purba Kuil Bayon dibaik pulih

    PHNOM PENH, 23 JAN – Ahli arkeologi dari Pihak Berkuasa Kebangsaan Apsara (ANA) telah merancang untuk memulihkan kolam purba di Kuil Bayon yang berusia berabad-abad di Taman Arkeologi Angkor yang terkenal di barat laut Kemboja, kata siaran berita ANA hari ini.

    Pakar-pakar itu kini sedang menjalankan penggalian di bahagian tenggara Kuil Bayon, yang dahulunya dipercayai sebagai struktur kolam purba, untuk mengkaji sedimen dan saiz kolam tersebut bagi tujuan pemulihan, kata siaran berita.

    Khieu Chan, ahli arkeologi di projek penggalian kolam purba, berkata penggalian sedang dijalankan oleh pasukan kerja Jabatan Air, Perhutanan dan Pengurusan Infrastruktur untuk mengetahui saiz dan struktur kolam yang tepat.

    Tambahnya, penggalian itu adalah untuk menentukan sama ada air membawa tanah untuk mengisi kolam itu, atau kolam itu diisi dengan tanah selepas Angkor ditinggalkan sebagai ibu kota.

    “Penggalian bertujuan untuk mengkaji hubungan antara kolam purba dan dinding purba untuk menentukan saiz dan struktur kolam yang tepat,” kata Khieu Chan.

    “Apabila pakar kami telah mengkaji saiz kolam, garis pantai dan kedalaman kolam purba mengikut sejarah, pasukan akan memulihkan kolam purba ini untuk menyimpan air semula seperti pada zaman dahulu,” tambahnya.

    Sementara itu, satu lagi pasukan arkeologi ANA sedang memulihkan platform teres pertama Kuil Bayon di bahagian tenggara yang telah runtuh dan tidak stabil, kata siaran berita itu. – Xinhua

    Kakitangan bekerja di tapak pemulihan kolam purba di Kuil Bayon di wilayah Siem Reap, Kemboja. – Xinhua
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...