NEW YORK, 12 DIS – Hutang pelajar dan kesukaran menguruskan kos kolej Amerika Syarikat (AS) telah mencapai tahap membimbangkan sehingga lebih banyak kolej mengambil langkah drastik untuk menjadikan kolej lebih murah, lapor The Washington Post kelmarin.
“Keinginan di sesetengah sekolah untuk memenuhi janji berkaitan pendidikan yang mampu milik dan keperluan di sekolah lain untuk mengimbangi kemerosotan pendaftaran masuk menghasilkan keuntungan untuk keluarga yang berpendapatan lebih enam angka: Lebih banyak sekolah menawarkan tuisyen percuma kepada keluarga berpendapatan sederhana,” menurut laporan.
Jika sebuah keluarga memperoleh kurang daripada AS$75,000 setahun, Universiti Brandeis, Universiti Illinois di Urbana-Champaign dan Universiti Richmond akan menampung kos penuh tuisyen pelajarnya mulai musim luruh 2025.
Perkara yang sama berlaku untuk pelajar yang mendaftar di sembilan Kampus Universiti Texas yang ibu bapanya berpendapatan di bawah AS$100,000.
Mulai musim gugur 2025, Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan University of Pennsylvania, pelajar daripada keluarga yang berpendapatan sehingga AS$200,000 setahun yang mana merangkumi sebahagian besar keluarga di AS, tidak perlu membayar tuisyen.
Di MIT, pelajar gembira dengan berita sedemikian, kata Enoch Ellis, presiden badan pelajar. Tetapi dia juga ada mendengar aduan bahawa sekolah berkenaan adalah seperti ‘pembunuh kelas pertengahan’: membebankan pelajar yang terlalu miskin untuk membayar tuisyen penuh tetapi terlalu kaya untuk menerima bantuan kewangan yang murah hati.
Banyak sekolah sedang mengumpul dana dan menggunakan dana endowmen untuk menampung peningkatan bantuan kewangan. Pemimpin universiti berkata mereka menghantar mesej jelas bahawa institusi mereka menawarkan pendidikan yang mampu kepada sebahagian besar orang ramai, menurut laporan itu. – Xinhua