BANGKOK, 24 MAC – Kerajaan Thailand merasmikan Kolej Urut Thai Thailand bagi meningkatkan profesion itu, memperbaiki reputasinya dan meningkatkan standard urutan Thai.
Timbalan jurucakap kerajaan, Anukul Prueksanusak berkata kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Awam telah menubuhkan Kolej Urut Thai bagi mempromosikan profesion tersebut, meningkatkan pengiktirafan antarabangsa, dan menyelaraskan dengan dasar yang bertujuan untuk meningkatkan potensi ekonomi kesihatan serta meletakkan Thailand sebagai Hab Perubatan dan Kesejahteraan.
“Kolej Urut Thai itu akan berfungsi sebagai sebuah agensi yang setaraf dengan bahagian, yang bertujuan untuk melatih dan membangunkan ahli terapi urutan Thai dengan pengetahuan dan kemahiran khusus dalam merawat tujuh jenis keadaan: sakit otot dan fascia, bahu beku, jari picu, skiatiks, disk melejit, kelumpuhan sebelah bahagian badan, serta sakit lutut,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman web Kerajaan Diraja Thailand hari ini.
Anukul menekankan bahawa Jabatan Perubatan Tradisional dan Alternatif Thai kini merupakan agensi utama yang bertanggungjawab dalam membangunkan kualiti, piawaian, kepakaran akademik, dan perkhidmatan urutan Thai.
Beliau menjelaskan bahawa kolej itu akan menyediakan latihan, memperakui kualiti dan piawaian urutan Thai, serta menjadi pusat pertukaran pengetahuan antarabangsa dalam bidang urutan Thai.
“Potensi individu yang telah menyelesaikan kursus 150 jam Urut Thai untuk Kesihatan yang didaftarkan dengan Jabatan Sokongan Perkhidmatan Kesihatan akan dikembangkan lagi. – Bernama
