BINTULU, 18 OGOS – Projek menaik taraf Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Bintulu kepada Kolej Vokasional Bintulu berjaya disiapkan 49 hari lebih awal daripada jadual asal tanpa sebarang lanjutan masa (EOT), kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata projek bernilai RM21.5 juta itu diserahkan secara rasmi hari ini selepas dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan kaedah konvensional perunding oleh kontraktor Asarajaya Sdn. Bhd.
Projek yang bermula pada 4 Julai 2023 itu merangkumi pembinaan pelbagai bengkel baharu termasuk Bengkel Seni Kulinari, Fesyen, Kosmetologi, Elektrik, Elektronik, CAD, Mock Office, Pendawaian serta Teknologi Kimpalan.
“Penyediaan kemudahan ini akan menjadi medium latihan terbaik bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Siap di Kolej Vokasional Bintulu, hari ini.
Nanta berkata kejayaan projek itu membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan aspirasi menyediakan infrastruktur moden, kondusif dan berkualiti. – Bernama


