Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain
Hobi mengumpul sesuatu benda menjadi sesuatu yang menyeronokkan bagi sesetengah orang, bukan sahaja koleksi seperti setem, wang kertas dan syiling malah mengumpulkan permainan kereta mini semakin menjadi kegilaan ramai orang.
Kereta permainan bukan sahaja diminati oleh golongan kanak-kanak sahaja, malah orang dewasa turut tidak melepaskan peluang mendominasi hobi mengumpul kereta mini ini. Dengan hobi ini kebanyakannya digemari oleh kaum lelaki, seorang daripada pengumpul dari Daerah Temburong tidak ketinggalan menghiasi almari kecilnya dengan pelbagai koleksi kereta yang menarik.
Kereta jenama Hot Wheels merupakan salah satu kereta mainan die-cast yang tidak asing lagi menjadi satu koleksi bagi pengumpulnya.
Begitu juga bagi Awang Zaki bin Jambin, 48, berasal dari Kampung Meniup, Temburong, yang merupakan salah seorang pengumpul koleksi Hot Wheels sejak November 2016. Minat ini mula wujud ketika beliau secara tidak sengaja menonton laman media YouTube mengenai kereta mainan itu. Dengan reka bentuk, lambang serta pelekat yang unik yang berwarna-warni dan cantik pada kereta kecil ini, berjaya menarik perhatian beliau untuk memilikinya.
Pada mulanya beliau hanya membeli 10 buah kereta mainan ini di beberapa buah kedai pada tahun 2016 yang kemudiannya menjadi satu koleksi besar yang lama-kelamaan menjadi hobi baginya. Dengan sokongan daripada isteri dan rakan-rakan, beliau kini memiliki kira-kira 350 buah koleksi kereta pelbagai siri, sama ada didapati dari dalam negara dan luar negara seperti Malaysia, Australia, China, India dan UK.


Menurut Awang Zaki, beliau tidak berniat untuk menjual koleksi tersebut dan ia hanya sekadar untuk disimpan sebagai hobi dan hiburan semata-mata. Baginya, walaupun kereta kecil berskala 1:64 ini berharga serendah $3.90 hingga ke $45 (bagi skala 5:6), harga bukanlah sesuatu yang penting baginya, tetapi kepuasan apabila melihat koleksinya bertambah dan berjaya mendapatkan jenis kereta yang diimpikannya pulang ke rumah dan terletak rapi dalam rak khas di dinding rumahnya.
Menurut beliau lagi, menariknya tentang hobi mengumpul kereta kecil ini apabila Hot-Wheels mengeluarkan set-set ulang tahun pelbagai jenama kereta dengan promosi separuh harga. Beliau sendiri sempat membeli satu set sempena ulang tahun ke-50 Hot-wheel, dipesan secara dalam talian iaitu kereta Mustang dan Ford Ranger keluaran khas ketika itu.
Antara koleksi yang disukai oleh Awang Zaki adalah daripada kereta dalam filem-filem seperti Batman, Fast and Furious, Captain America, Iron Man dan banyak lagi. Ini termasuk kereta klasik seperti Chevrolet Camaro, Datsun, Porsche, Lamborghini, Mustang, 1968 Mercury Cougar, Muscle Mania, pelbagai jenis jentera berat dan banyak lagi.
Menurut Awang Zaki lagi, selain reka bentuk Hot Wheels yang unik dan beraneka warna, kesenian cat dan rim sport pada kereta kecil ini yang menjadi tarikan utama kenapa beliau meminatinya. Mengikut pengalaman beliau, bahan buatan kereta ini menjadi perbandingan nilai harga pada sebuah kereta yang berukuran 2.5 sehingga 3 inci bergantung kepada jenis prototaipnya.
Beliau menyukai hobi itu kerana penjagaannya agak mudah, hanya perlu mengelap habuk-habuk kecil di raknya dan kereta-kereta itu pula tidak berkarat, catnya tidak mudah rosak. Beliau sangat menyukai hobi ini kerana penjagaannya sangat mudah sekali.
Daripada segi penyusunan, beliau tidak mengkategorikannya kepada jenis tetapi lebih secara rawak agar tidak bosan setiap kali melihatnya.
“Pada tahun ini sahaja, saya hanya mendapatkan 55 buah koleksi tambahan melalui pembelian dalam talian dan beberapa buah kedai dalam negara. Ia agak berkurangan kerana kesan penularan COVID-19 yang banyak menjejaskan aktiviti pembelian dalam talian ketika itu, berbanding tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.
Namun itu tidak menghalang beliau untuk terus mengumpul dan berharap akan dapat mencapai sasaran 450 buah pada penghujung tahun 2020 ini. Selain menambah koleksi, beliau juga berangan ingin membina bilik replika ‘bandar fantasi’ berupa galeri khas bagi merealisasikan agar keretanya tampak seperti dalam dunia nyata.
Untuk mendapatkan koleksi yang berbeza, Awang Zaki biasanya akan bertukar-tukar bersama rakan-rakan yang meminati koleksi yang sama atau membeli daripada mereka mengikut persetujuan harga yang ditawarkan daripada pengumpul lain.
Beliau tidak kisah dengan kategori atau genre kereta tetapi beliau paling meminati jenis jip atau trak. Menurutnya, selain meminati keunikan rim kereta koleksinya yang beraneka, Hot Wheels juga menarik daripada aspek keasliannya, setiap nama dan siri kereta tersebut akan tertera di bawah badan kereta itu. Ini boleh menambah pengetahuan Awang Zaki tentang nama dan model-model kereta yang ada.