Oleh Manik Mehta
NEW YORK – Berikut adalah paparan mengenai koleksi terkini ikon fesyen Malaysia Datuk Zang Toi yang menampilkan rekaan pelbagai rona biru, dan mendapat liputan luar jangkaan di saluran televisyen utama Amerika Syarikat Fox News. Koleksi rekaan terkini warna nilakandi (royal blue) terang oleh pereka fesyen terkemuka Malaysia Zang Toi yang diperagakan di New York Fashion Week (NYFW) baru-baru ini mendapat liputan yang tidak dijangkakan di saluran televisyen utama Amerika Syarikat(AS), Fox News.
Liputan memberangsangkan seumpama itu oleh sebuah saluran televisyen AS kepada seorang pereka Malaysia adalah sesuatu yang luar biasa bagi industri fesyen Malaysia.
Toi, yang berjaya membentuk jaringan pelanggan mewah bagi perniagaannya bukan sahaja di AS malah di negara lain, tampil dengan elemennya tersendiri yang mempersembahkan koleksi musim luruh berasaskan warna nilakandi yang turut dipelbagaikan dalam tona yang berbeza.
Seorang daripada hadirin di pertunjukan itu ialah Kimberley Guilfoyle, penyampai berita Fox News, yang juga peminat Toi hadir bersama Anthony Scaramouchi, calon yang dipertimbangkan untuk jawatan penasihat White House.
Fox News menyiarkan berita mengenai Toi selama enam minit, memberi penekanan kepada ciptaannya yang sangat menyerlah iaitu gaun biru kembang panjang yang diperagakan oleh model berambut perang ibarat seorang “puteri”.

“Sesungguhnya ini adalah acara kemuncak majlis,” satu daripada keseluruhan 33 rekaan Toi yang dipersembahkan pada pertunjukan fesyen itu.
Dalam ulasan mereka, pakar dan pengkritik fesyen memuji rekaan Toi yang dipelbagaikan dengan penuh gaya sesuai dengan ciri-ciri keanggunan rekaan Toi.
Klasik dan kelihatan praktikal
Rekaan pertama yang membuka tirai koleksi itu adalah kombinasi turtleneck dan pakaian ala tentera laut (navy shearling) yang kelihatan klasik namun praktikal. Menjelang ke penghujung persembahan Toi, rona-rona royal blue semakin ketara dengan kemuncaknya, model yang tampil dengan gaun labuh ala sang “puteri”.
Para penonton serentak bangun sambil bertepuk tanda penghargaan kepada Toi sebaik sahaja beliau tampil bersama-sama sang “puteri” berpakaian gaun panjang dengan rona royal blue yang menjadi warna koleksi terkini beliau.
Dalam temu bual dengan Bernama, Toi menggambarkan bahawa Guilfoyle dari Fox News itu sebagai “teman sejati”.
“Saya amat berbesar hati kerana Fox News menyiarkan persembahan saya untuk selama kira-kira enam minit. Berapa ramai pereka fesyen yang dapat enam minit di Fox News?” katanya.
Ikon Malaysia yang dilahirkan di Kelantan itu, yang juga dikenali dalam kalangan rakan-rakannya sebagai “budak Kelantan”, juga menyebut tentang rancangan perniagaannya.


Selepas menandatangani perjanjian dengan Papyrus, jenama kad ucapan yang paling laris, Toi berkata beliau akan melancarkan koleksi kedua kadnya pada September 2017.
Bercirikan mercu tanda di New York
“Koleksi baharu akan dipanggil ‘Zang Toi’s New York series’ bercirikan pelbagai mercu tanda di New York, dan lain-lain,” katanya sambil menyifatkan usaha pertamanya dengan Papyrus satu kejayaan.
Tetapi pereka fesyen Malaysia itu juga akan mengembangkan perniagaannya ke bidang lain. Beliau mempunyai beberapa projek dengan pengeluar kereta mewah Lexus yang mana kakitangan syarikat berkenaan akan memakai pakaian rekaan Zang Toi pada acara-acara pameran perdagangan pada masa akan datang.
“Pengerusi Lexus berpuas hati dengan jenama pakaian Zang Toi yang direka khusus untuk Detroit Car Show pada Januari baru-baru ini. Satu lagi pameran kereta akan berlangsung di New York pada April ini di mana saya akan menawarkan rekaan saya,” kata Toi, sambil menambah bahawa pihak atasan di Lexus turut hadir pada pertunjukan NYFW itu.
Toi berkata sinergi daripada kerjasama dengan jenama Lexus akan menjadi dorongan kuat untuk koleksi keluarannya. Sementara itu, beliau menerima banyak
e-mel peminat dari serata pelosok dunia. Seorang peminat tegar fesyen di Scotland, sebagai contoh, telah mengikuti rekaan beliau dengan tekun, dan sering berhubung dengannya di Facebook mengenai persembahan dan penampilannya di Fox News.
“Ini adalah satu lagi emel daripada peminat di Scotland,” Toi menunjukkan iPhonenya semasa temu bual. Toi berkata Wanita Pertama Melania Trump telah memakai pakaian rekaannya yang berwarna putih dan merah jambu pada 2003 apabila Donald Trump dan Melania membuat pengumuman mengenai perkahwinan mereka. – Bernama