LONDON, 15 NOV – Pemuzik, pengumpul, dan peminat kini berpeluang untuk memiliki instrumen yang pernah dimiliki oleh lagenda gitar, mendiang Jeff Beck yang akan dilelong.
Christie’s hari ini mengumumkan ia akan menjual lebih 130 barangan, termasuk 90 gitar, daripada koleksi gitaris kumpulan Yardbirds dan Jeff Beck Group yang meninggal dunia pada Januari 2023 pada usia 78 tahun.
Koleksi yang dianggarkan bernilai lebih daripada AS$1.3 juta itu termasuk Gibson Les Paul 1954 berwarna oxblood yang dibeli oleh Beck di Memphis pada tahun 1972 dan dimainkan sepanjang dekad tersebut.
Gitar tersebut, yang terdapat pada kulit album jazz-fusion Beck yang memenangi Grammy pada tahun 1975, Blow by Blow, dijangka dijual antara AS$450,000 hingga AS$640,000.
Ketua Koleksi Peribadi dan Ikonik di Christie’s, Amelia Walker, menyifatkan gitar tersebut sebagai ‘instrumen yang sangat indah, dipenuhi dengan kotoran dan tanda-tanda penggunaan.’
“Saya rasa itu sebahagian daripada daya tarikannya,” katanya.
“Ini adalah barang-barang yang beliau gunakan. Ia mempunyai kesan kuku jari beliau pada papan fret.
“Beberapa daripadanya, tali gitar tidak ditukar selama bertahun-tahun. Beliau memainkannya dengan sepenuh tenaga.
“Beliau tidak melihatnya sebagai karya seni yang bernilai ia adalah alat untuknya bekerja,” jelasnya.
Beck mula dikenali pada tahun 1960an bersama pengasas hard-rock Yardbirds dan meneruskan kerjaya solo yang menggabungkan rock, jazz, blues dan opera.
Beliau dua kali dimasukkan ke dalam Rock and Roll Hall of Fame bersama Yardbirds dan sebagai artis solo.
Beck pernah bermain dengan ramai artis terkenal seperti Rod Stewart, David Bowie, Stevie Wonder dan Tina Turner, dan dikenali dengan kemahiran improvisasi serta bunyi unik yang diperolehnya daripada penggunaan whammy bar pada gitar kegemarannya, Fender Stratocaster. – AP