Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Buku Kesultanan Brunei Darussalam iaitu koleksi khas disumbangkan kepada Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr) Haji Awang Mohammad Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar diterbitkan bertujuan sebagai kenang-kenangan dan penghormatan kepada Yang Berhormat Pehin sebagai pelopor dalam kajian dan penulisan sejarah Negara Brunei Darussalam.
Ia juga sebagai tanda penghormatan atas kejayaan beliau khususnya dalam mencapai matlamat penubuhan Pusat Sejarah Brunei sebagai sebuah institusi yang berautoriti mengenai persejarahan Negara Brunei Darussalam.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Yang Di-Pertua Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR), Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Buku Kesultanan Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran buku berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir ialah Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr)Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri, ahli Majlis Mesyuarat Negara, para pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pusat Sejarah Brunei serta para jemputan khas.
Buku tersebut mengandungi 17 buah artikel yang telah disumbangkan oleh 15 orang penulis tempatan dan dua orang dari luar negeri. Artikel-artikel berkenaan membicarakan berbagai-bagai aspek yang berkaitan dengan sejarah, ekonomi, pendidikan dan kesusasteraan tentang Negara Brunei Darussalam.

