Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Koleksi kostum khas untuk industri perfileman

    ALGETE, SEPANYOL – Daripada koleksi pakaian yang memenuhi segala-galanya daripada ‘House of the Dragon’ kepada ‘The Crown’, Peris Costumes di Sepanyol telah menempa namanya yang tersendiri, dengan menyewa kostum kepada penerbit filem di seluruh dunia.

    “Di sini, awda boleh mencari segala-galanya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Javier Toledo sambil menunjukkan pelbagai kostum dan aksesori – daripada sut kepada baju zirah, kot, gaun dan jubah.

    Boneka pakaian yang disarung gaun abad ke-18 berdiri bersebelahan poster-poster filem yang telah diterbitkan oleh syarikatnya sejak beberapa tahun ini.

    “Koleksi pakaian mulai bertambah,” kata usahawan berusia 63 tahun dengan rambut uban dan janggut rapi. Kedai kostum miliknya terletak di Algete, sebuah bandar kecil di luar Madrid.

    Sejak Toledo mengambil alih 10 tahun lalu, perniagaan itu telah berubah.

    Javier Toledo bergambar bersebelahan kostum untuk disewa kepada industri perfileman, yang disimpan di salah sebuah gudang syarikat di Algete, utara Madrid. – AFP
    Seorang pekerja menyusun barang kemas dan aksesori dari pelbagai era untuk disewa kepada industri perfileman. – AFP
    Seorang pekerja Peris Costumes menyediakan corak kostum untuk seorang pelakon di Algete, utara Madrid. – AFP
    Helmet dari zaman purbakala yang telah digunakan dalam penerbitan filem disimpan di syarikat Peris Costumes. – AFP

    Apa yang bermula sebagai sebuah firma keluarga kecil yang ditubuhkan oleh tukang jahit yang mengkhusus dalam kostum teater di timur bandar pantai Valencia pada tahun 1856 telah menjadi pemimpin dunia dalam kostum yang disewa untuk industri perfileman.

    Dan ia merupakan kisah kejayaan yang berkait rapat dengan kebangkitan syarikat gergasi penstriman seperti Netflix, Disney+ dan HBO.

    “Kami telah menyambut baik perubahan yang telah berlaku dalam pasaran,” beritahunya kepada AFP, merujuk terutamanya kepada ledakan dalam kepo-pularan ‘filem bersiri’.

    Apabila dia membeli syarikat itu, Peris Costumes hanya mempunyai sedozen kakitangan, kesemuanya berpangkalan di Madrid. Hari ini, kumpulan itu menggaji 250 pekerja dan mempunyai pejabat atau bengkel di 15 bandar di ibu negara, termasuk Budapest, Berlin, Paris dan Bandar Mexico.

    “Dalam tempoh separuh tahun pertama, kami terbabit dalam hampir 600 penerbitan. Dan pada akhir tahun, kami berharap jumlah tersebut akan bertambah melebihi 1,000,” kata pengarah pemasaran Myriam Wais.

    Di antara filem dan siri drama yang telah memilih syarikat itu termasuk pelbagai penerbitan besar dan agresif dari segi kostum fantasi atau zaman Renaissance.

    Sama ada filem ‘The Rings of Power’, ‘Mulan’ atau ‘Marco Polo’, kebanyakan penerbitan lebih suka menyewa kostum dan bukannya melabur untuk menghasilkan kostum mereka sendiri.

    “Mencuba menghasilkan kostum tanpa sebarang asas boleh dikatakan mustahil dilakukan disebabkan masa dan kos yang terlibat,” kata Toledo.

    Dan penerbit menghargai dan lebih suka ‘memiliki kostum yang pernah dipakai dan yang diwarisi turun-temurun dari zaman ke zaman,” jelasnya.

    Untuk mengembangkan senarai katalognya, Peris Costumes dalam beberapa tahun ini telah membeli berjuta-juta kostum, topi, kasut dan pakaian seragam dari studio gergasi seperti Warner Bros.

    Kesemua kostum berkenaan melengkapi koleksi dalam studio mereka sendiri yang disimpan di bengkel pereka fesyen kostum.

    “Pada keseluruhannya, kami mempunyai lebih daripada 10 juta pakaian dan aksesori,” menurut Wais, sambil menyenaraikan gaya dan era yang paling popular.

    Beliau berkata ia ‘merupakan koleksi pakaian terbesar di dunia.’

    Di bilik berhampiran, empat tukang jahit sedang bertungkus-lumus menyiapkan kostum dengan alat yang diperbuat daripada kulit, tukul berat dan playar menggunakan tangan.

    “Buat masa sekarang, kami sedang mengusahakan inventori kami sendiri tetapi terdapat juga tempahan yang diterima,” katanya.

    Dalam sebuah bilik lain yang digunakan sebagai bengkel barang kemas, terdapat hampir 20,000 barang kemas disimpan dan dipamerkan, termasuk batu permata yang dipakai Elizabeth Taylor dalam filem epik ‘Cleopatra’ pada tahun 1963 dan rantai yang dipakai Jude Law dalam siri ‘The Young Pope’ pada 2016.

    Di Peris Costume, peraturan yang dikuatkuasakan adalah tidak sekali-kali membuang sebarang kostum atau aksesori, walaupun ia rosak semasa penggambaran.

    “Kami mempunyai satu ruang yang bergelar ‘The Walking Dead’ di mana kami meletakkan kostum dan aksesori yang telah pecah atau rosak tetapi masih dapat digunakan semula,” kata Wais, istilah yang merujuk kepada siri televisyen mengenai mangsa zombi yang terselamat.

    Dengan permintaan yang tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan, kedai kostum Sepanyol ini telah memulakan proses pendigitalan beberapa katalognya baru-baru ini dengan bantuan sebuah studio yang dilengkapi dengan 144 kamera resolusi tinggi. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...