Sunday, May 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Koleksi lebih teratur, kemas

    Oleh Amri HTZ

    Minat menyimpan pelbagai jenis batu akik bukanlah sesuatu yang baharu, malahan telah lama wujud sejak dahulu lagi.

    Sesetengah pengumpul memilih untuk menjadikan koleksi batu akik sebagai batu cincin, loket, kerongsang dan sebagainya dan sebahagiannya pula lebih suka ia kekal dalam bentuk alami.

    Mempunyai koleksi batu alami yang banyak memerlukan tempat khusus untuk meletakkannya bagi mengelakkannya berselerak dan mengetahui jumlah keseluruhan yang dimiliki. Oleh itu projek ini akan membawakan awda langkah mereka kotak khusus untuk menyimpan dan mempamerkan koleksi batu unik yang dimiliki.

    Apakah barangan yang diperlukan?

    Sebelum membolehkan awda memulakan langkah pembuatan, terlebih dahulu sediakan beberapa barangan penting untuk merekanya seperti mesin pemotong kayu jenis meja, papan berukuran ½ inci, papan lapis berukuran 1/8 inci dan ¼ inci, engsel pintu berukuran kecil, alas getah (untuk bahagian bawah rekaan), plexiglass berukuran 1/8”, mesin router, kertas pasir, ketam kayu dan wood finish pilihan.

    Kedudukan groove yang direka untuk menempatkan papan lapis dan plexiglass. – Agensi
    Bahagian-bahagian kotak yang telah direka dengan finger joint pada bahagian hujungnya. – Agensi
    Kayu pembahagi barangan yang telah siap dipotong dengan groove.
    Bentuk kepingan kayu pembahagi setelah dicantumkan.
    Kotak penutup dipotong menggunakan mesin pemotong kayu. – Agensi

    Pentingnya langkah pembuatan yang tertib

    Papan yang tersedia terlebih dahulu perlu diratakan permukaannya menggunakan ketam kayu terutamanya bagi yang kasar dan tidak sekata. Sementara bagi permukaan kayu yang sedikit kasar, hanya perlu diratakan menggunakan kertas pasir berukuran 180 grit.

    Setelah meratakan permukaan kayu, langkah seterusnya memerlukan awda untuk menandakan dan melakar bentuk yang hendak dipotongkan menggunakan pensel. Dua keping kayu berukuran ½ inci untuk bahagian sisi kotak yang tersedia akan dipotongkan dengan bentuk trapezium. Bentuk ini mempunyai kedua-dua bahagian hujung yang sama namun berlainan untuk bahagian atas dan bawah.

    Potongkan papan dengan panjang 12 ½ inci dua keping dan lebar 4 ¼ inci menggunakan mesin pemotong kayu. Ini diikuti dengan menandakan kedudukan potongan untuk bahagian atas kayu yang sedikit mencondong kira-kira 9 darjah daripada bahagian hujung kayu ke bahagian hujung yang satu lagi pada kedudukan 2 ¼ inci. Setelah menandakannya, potongkan kayu dengan berpandukan garisan yang telah dilakar.

    Kedua-dua bahagian sisi kotak ini kemudiannya akan direka dengan dua groove pada bahagian dalamnya bagi membolehkan kayu pembahagi tempat meletakkan batu nanti. Oleh itu ia memerlukan awda untuk merekanya menggunakan mesin router dengan straight bit berukuran ¼ inci dengan ke-dalaman ¼ inci. Sementara bagi groove yang satu lagi adalah bagi ruangan plexiglass. Groove tersebut direka untuk memudahkan ia dimasukkan namun kali ini menggunakan mata router berukuran 1/8 inci dengan kedalaman ¼ inci.

    Kedudukan groove yang akan direka pada bahagian dalaman kayu bahagian sisi kotak akan berada pada kedudukan 3/8 inci dari bahagian atas kayu untuk ruangan plexiglass. Manakala bagi ruangan papan pembahagi ruangan batu pula pada kedudukan 1 6/8 inci.

    Kedudukannya juga akan mencondong mengikut bentuk atas bahagian sisi kayu.

    Langkah seterusnya ialah memotong kayu untuk bahagian depan dan belakang kotak dengan lebar 4 ¼ inci untuk bahagian belakang dan lebar 2 ¼ inci bagi bahagian depan dengan kedua-dua mempunyai panjang 15 inci. Bagi groove bahagian depan dan belakang kotak, kedudukan perlulah selaras dengan kedudukan bahagian sisi kotak. Oleh itu bagi mendapatkan kedudukan yang sempurna, awda hanya perlu meletakkan kayu bahagian sisi kotak sejajar dengan kayu bahagian depan dan belakang kemudian menandakannya.

    Teknik cantuman struktur kotak akan menggunakan finger joint. Teknik ini memerlukan kemahiran ketika menandakan kedudukan finger agar sejajar pada bahagian lain. Selain teknik ini, awda juga boleh menggunakan teknik mitre di mana bahagian hujung kayu dipotong dengan sudut 45 darjah.

    Manakala untuk kayu bahagian dalam di mana batu ditempatkan dan pexiglass bahagian penutup kotak, kedua-duanya akan dipotong dengan ukuran yang sama iaitu 14 ¾ inci x 12 1/8 inci menggunakan mesin pemotong kayu. Cuma pada langkah ini awda perlu menyorong perlahan plexiglass ketika memotongkannya bagi mengelakkan ia pecah.

    Kesemua kepingan kayu kemudiannya akan dicantumkan menjadi satu menggunakan gam kayu. Sebelum itu masukkan plexiglass dan papan untuk menempatkan koleksi ke dalam groove yang telah ditetapkan. Sementara menunggu gam mengering, masa terluang akan digunakan untuk mereka bahagian pembahagi kotak. Lebar kayu yang diperlukan ialah 1 1/8 inci yang memerlukan awda untuk memotongkannya menggunakan mesin pemotong kayu.

    Bagi panjangnya pula, bahagian kayu mendatar akan dipotong dengan panjang 14 ¼ inci manakala bahagian tegak 11 ½ inci. Bahagian hujungnya pula akan dipotong dengan sudut 9 darjah yang memerlukan awda menandakannya kemudian memotongkannya dengan bantuan mitre gauge. Manakala bagi bahagian groove untuk cantuman kepingan kayu pembahagi, tetapkan ketinggian bilah pemotong 14.3 mililiter bagi memotongkannya.

    Jarak setiap satu tertakluk kepada ukuran koleksi yang dimiliki yang memerlukan awda untuk mengukur batu yang dimiliki. Dengan langkah ini, ia akan membolehkan awda mencantumkan kepingan kayu tersebut dengan mudah.

    Setelah gam mengering, langkah seterusnya ialah memotong bahagian penutup kotak tersebut. Tetapkan saw fence mesin pemotong kayu dengan jarak ¾ inci dan sorongkan bahagian atas yang akan dijadikan penutup (bahagian plexiglass). Gunakan rip fence sebagai panduan dan sorong perlahan material untuk memotongkannya.

    Tujuan langkah ini dilakukan adalah bagi memastikan penutup kotak benar-benar mempunyai ukuran yang sama dengan badan utama. Selain itu, ia juga dapat mempercepatkan proses pembuatan tanpa memerlukan awda memotongkan lebih banyak bahagian.

    Langkah terakhir ialah menempatkan engsel penutup kotak dan selak pintu menggunakan skru.

    Bagi melindungi permukaan rekaan, paste wax akan digunakan dalam projek ini dalam mengekalkan permukaan asli kayu selain menaikkan ira-ira yang tersembunyi.

    Selain boleh dipamerkan secara mendatar, kotak koleksi batu akik tersebut juga boleh dipamerkan secara menegak yang setentunya mampu memberikan kelainan dalam rekaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...