Oleh Rafidah Jumat
Jika wanita lain seusianya lebih minat mengumpul koleksi beg tangan, kasut atau alat solekan, berbeza pula dengan wanita yang bekerja sebagai jururawat pemulihan jantung ini yang lebih gemar mengumpul permainan Lego .
Hobi mengumpul Lego bagi Rasyiqah binti Ahad bukan hanya aktiviti mengisi masa lapang, malah menjanjikan kepuasan apabila berjaya memasang dan melengkapkan model-model permainan, terutamanya yang paling rumit.
Menurut Rasyiqah yang berusia 28 tahun, dia membeli Lego pertamanya Lego Creator 3in1 Red Rotors pada 2013, di mana set ini membolehkannya membuat tiga model berlainan menggunakan kepingan Lego sama.
Untuk Lego creator ini, katanya dia mengambil masa dua jam untuk menyiapkannya kerana ia perlu dipasang menggunakan susunan warna tetapi untuk set creator yang lebih kecil, ia hanya mengambil masa 45 minit hingga satu jam untuk disiapkan.
Menurut Rasyiqah, memiliki Lego Creator 3in1 Red Rotors boleh dikatakan langkah permulaan untuknya ‘terjebak’ dalam permainan ini.



Dia yang ketika itu belum mempunyai kegemaran mana-mana tema Lego mula tergerak untuk mengumpul lebih banyak apabila melihat bermacam-macam permainan Lego yang dimuat naik dalam laman sosial sekali gus mengundang keterujaannya.
“Ketika saya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Imperial College London pada 2014, saya suka membeli set Lego ‘Friends’ kerana suka melihat kepingan blok kecil yang comel berbentuk bunga, daun, bintang, pokok dan binatang, tambahan lagi bentuk figura set Friends lebih berbentuk orang dan tidak sama seperti figura Lego lain yang cenderung dengan bentuk kepala atau tangan yang berwarna kuning.
“Semasa belajar dulu, saya tidak mempunyai wang yang banyak untuk membeli tetapi boleh dikatakan setiap bulan, saya akan pergi ke kedai Lego hanya untuk melihat-lihat tetapi jika peruntukan mengizinkan, saya akan membelinya,” kata Rasyiqah yang mengakui harga permainan ini memang mahal.
“Sejak meminati hobi ini, ia menjadi satu kepuasan apabila berjaya menyusun pelbagai jenis saiz dan bentuk Lego berpandukan manual yang diberikan,” katanya kepada penulis semasa ditemui di rumahnya di Kampung Tanjong Bunut.
Katanya, meskipun proses pemasangan agak mencabar dan menguji minda, ia satu permainan menarik yang mampu membina pemikiran lebih kreatif.
“Setakat ini, saya mempunyai lebih 100 koleksi seperti Ninjago, Monster Fighters, Speed Champions, Nexo Knights, Lego Movie, Lego City dan berbagai bentuk minifigure.
“Hobi ini menjadi lebih seronok apabila dilakukan secara beramai-ramai sekali gus mengeratkan hubungan kami adik-beradik,” ujar anak sulung ini yang turut mengongsikan minatnya bersama empat adiknya.
Dalam kesemua koleksinya, dia lebih berminat dengan Brickheadz dan kini mempunyai 51 watak brickheadz.
Apabila sudah mengumpul Lego, apa yang diperlukan ialah almari kaca untuk mempamerkannya, kata Rasyiqah yang mengakui almari kacanya kini sudah tidak mempunyai ruang untuk menempatkan kesemua koleksinya namun gembira melihat koleksinya bertambah tahun demi tahun.
Menurut Rasyiqah, set paling sukar yang pernah dipasangnya ialah Creator WALL.E yang melibatkan 676 kepingan Lego, meskipun kepingan bloknya bukan jumlah yang mencecah lebih dari 1,000 tetapi baginya set ini yang paling rumit, namun menyeronokkan.
“Saya mula membeli Lego yang harganya lebih mahal sebaik mula bekerja pada tahun 2016,” katanya, yang tidak merasa rugi dengan keputusannya membeli model-model Lego meskipun pada harga yang mahal.
“Saya tidak rasakan mengumpul Lego ini satu pembaziran kerana setiap Lego yang dibeli boleh disimpan untuk kenangan pada masa akan datang, lebih-lebih lagi saya dapat menggunakan imaginasi dan kreativiti untuk menghidupkan setiap watak minifigure Lego dengan susunan yang menarik, “ kata Rasyiqah yang mana minatnya ini turut mendapat sokongan daripada suaminya.
Baginya, memasang Lego juga dianggap sebagai satu seni yang memerlukan kesabaran.
Tambahnya, terbaru dia membeli Technic (Dom’s Dodge Charger) yang merupakan kereta dari filem Fast and Furious tetapi tidak mempunyai kesempatan untuk memasangnya disebabkan sibuk dengan bekerja, namun akan meluangkan masa setiap hujung minggu untuk memasang mana-mana Lego yang belum siap.
Untuk model Lego yang kepingan bloknya sudah dikeluarkan dari kotak dan tidak sempat disiapkan, Rasyiqah akan menyimpannya di dalam plastik ziplock supaya tidak tercicir atau hilang.
Rasyiqah turut memberitahu penulis mengenai pelancaran terbaharu Lego iaitu Technic Lamborghini Sian FKP 37 yang menjadi senarai koleksi seterusnya.
Mengakhiri perbualan, katanya dia percaya banyak peminat Lego di luar sana yang mempunyai lebih banyak koleksi dari dirinya di mana dia berharap akan dapat menyertai mana-mana ekspo Lego suatu hari nanti jika berpeluang.