Oleh Zulkamal Haji Kamis
Gambar dari Vogue
SEBELUM melangkah ke tahun 2019, Salvatore Ferragamo telah mendedahkan koleksi musim luruh bagi kegunaan lelaki dan juga wanita. Koleksi ini telah menggunakan lakaran dan hasil lukisan terkenal abad ke-16, Bronzino di mana kebanyakan lukisannya dipamerkan di Galeri Degli Uffizi di Florence dan memaparkan keagungan lakaran ikonik yang mewah.
Kebanyakan koleksi ini cuba memancarkan keanggunan mewah, mendedahkan lakaran dan sentuhan yang mahal berdasarkan warisan jenama tersebut yang sudah terkenal di seluruh dunia.
Koleksi ini cuba bermain dengan warna yang lebih ringan dan tidak berat iaitu lembut, terang dan apa yang penting selesa seperti penggunaan warna kelabu terang, merah jambu, kuning dan banyak lagi.
Setiap lakaran dipadankan dengan trend moden yang sedia ada walaupun masih mengekalkan corak dasar yang ikonik. Kebanyakan busana dihasilkan dengan fabrik yang lembut, jaket kulit bagi lelaki dan pendekatan yang telah direkonstruksi.
Koleksi kali ini turut memaparkan kelainan seperti pemakaian bot panjang yang disesuaikan dengan busana yang digunakan menjadikannya kelihatan lebih mahal dan mewah. Ia turut membina ikatan hubungan yang harmoni di antara busana yang dipakai dengan aksesori yang lain.