ZAGREB – Meluncur naik melalui gaung gunung, melintasi cerun ski bersalji dan memasuki stesen sibuk, kereta api dalam landskap amat kecil Antun Urbic memukau pengunjung ke muzium model kereta apinya di Zagreb.
Muzium Ekspres Mini Backo, yang terbesar seumpama itu di tenggara Eropah, mempunyai landasan kereta api kecil sepanjang lebih satu kilometer yang merentasi kampung luar bandar dengan pemandangan cantik serta medan bandar yang dipenuhi dengan butir-butir luar biasa.
Lebih 2,500 patung kecil termasuk pendaki gunung, tetamu perkahwinan, polis, pekerja pembinaan dan pengunjung menghuni landskap tersebut.
Urbic, yang membuka muzium itu pada 2015, jatuh cinta dengan kereta api 60 tahun lalu apabila bapanya memberikannya satu set model.
“Ia adalah satu-satunya barang mainan yang bergerak sendiri,” kata lelaki berusia 66 tahun yang dipanggil dengan nama timangan Backo.

Beliau mula membina set tersebut di loteng rumahnya di Zagreb sebelum berpindah ke ruang yang lebih besar di mana beliau menjemput kawan-kawannya untuk membina model bersamanya.
“Ia bermula sebagai satu hobi,” beritahunya kepada AFP.
Selepas menghabiskan empat tahun mencantumkan bersama model besar-besaran, beliau membuka muzium kepada orang awam.
Sejak itu, tapak tersebut telah menarik 25,000 orang setahun, termasuk penggemar model kereta api dari Amerika Syarikat, Australia dan India.
Muzium itu dibuka semula pada Mei selepas ditutup hampir tiga bulan di bawah perintah berkurung koronavirus di Croatia.
“Kami tidak sabar-sabar untuk datang ke sini sekali lagi,” kata Davorin Bozic, pengunjung tetap ditemani oleh tiga anaknya.
Butir kegemaran Jan Zelic, 8 tahun, adalah dalam sebuah kubur di mana satu tangan terjulur keluar dari kubur.
“Ia benar-benar menyeronokkan,” katanya.
Bapanya Sasa, seorang ahli ekonomi berusia 38 tahun, memuji ‘imaginasi dan ketelitian mekanik yang diperlukan untuk membina kesemua ini. Saya berasa kagum terutamanya dengan cerun ski.”
Pemandangan memaparkan pemain ski kecil meluncur membengkang-bengkok menuruni laluan ski yang menerima inspirasi daripada perlumbaan ski berhampiran Medvednica, yang menganjurkan Piala Dunia lelaki dan wanita.
Ia adalah satu-satunya model muzium di Eropah dengan peluncur ski betul-betul menuruni lereng gunung dan bukannya melekat pada cerun, menurut Urbic.
Di antara mereka adalah dua patung kecil bintang peluncur ski Croatia – adik-beradik Ivica dan Janica Kostelic – sudah bersara sekarang.
Janica digambarkan bermain ski dengan hanya satu batang ski seperti yang dilakukannya selepas menggugurkan batang ski satu lagi semasa perlumbaan Piala Dunia 2006 apabila beliau memenangi pingat gangsa.
“Semua orang menganggapnya sebagai permainan kanak-kanak tetapi ia jauh lebih daripada itu,” kata rakan Urbic Zvonko Cebalo.
“Wujudnya daya penumpuan ilmu pengetahuan – elektronik, elektrik, IT, robotik.” – AFP