Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Koleksi rambut unik di Muzium Leila bakal ditutup

    INDEPENDENCE – Lingkaran bunga dan perhiasan daripada rambut manusia yang berusia lebih satu abad memenuhi dinding Muzium Rambut Leila, sementara kotak kaca sarat dengan rantai leher dan tali jam tangan yang dianyam daripada helaian rambut si mati.

    Koleksi itu turut dikatakan mengandungi rambut milik bekas presiden Amerika Syarikat (AS) bahkan rambut legenda Hollywood, Marilyn Monroe.

    Selama hampir 30 tahun, koleksi seni rambut ini di pinggir bandar Kansas City, Independence, menarik pelawat dari pelbagai latar belakang, termasuk bintang muzik heavy metal, Ozzy Osbourne.

    Namun, pengasas muzium itu, Leila Cohoon, meninggal dunia pada November tahun lalu pada usia 92 tahun. Kini cucunya, Lindsay Evans, sibuk mengagihkan lebih 3,000 koleksi tersebut ke muzium-muzium di seluruh AS, termasuk Metropolitan Museum of Art di New York dan National Museum of Women in the Arts di Washington, D.C.

    “Setiap kali saya datang ke sini, saya rasa dia masih ada,” kata Evans pada Isnin sambil menemani wakil National Museum of Funeral History dari Houston, yang membawa pulang sekitar 30 artifak. “Tempat ini adalah dirinya. Jadi proses mengagihkan semula koleksi ini membantu saya meratapi pemergiannya dengan cara yang saya sendiri tak sedar saya perlukan.”

    Karya seni rambut pertama yang dikumpul oleh Leila Cohoon untuk Muzium Rambut Leila kini dipamerkan kepada orang ramai. – AP
    Lingkaran bunga yang diperbuat daripada rambut manusia mengelilingi rangkap puisi tentang seorang gadis muda yang meninggal dunia dipamerkan di Muzium Rambut Leila. – AP
    Lindsay Evans menunjukkan ke arah sebuah foto bersejarah yang merakam wanita era Victoria sedang menganyam rambut manusia menjadi karya seni, semasa lawatan di Muzium Rambut Leila. – AP
    Gambar AP
    Gambar AP

    Kisah ini bermula pada tahun 1956 apabila Cohoon, seorang pendandan rambut, keluar membeli kasut. Di sebuah kedai antik, dia menemui bingkai emas berisi helaian rambut yang dipintal membentuk bunga.

    “Dia kata lupakan saja kasut,” kata Evans. “Datuk saya selalu cakap, inilah barang paling mahal dalam muzium disebabkan apa yang dicetuskannya.”

    Evans menyimpan karya pertama itu sebagai kenangan.

    Seni rambut mencapai kemuncak populariti pada pertengahan abad ke-19 apabila wanita menggulung rambut si mati menjadi barang kemas atau menceritakan sejarah keluarga dengan menganyam rambut orang tersayang menjadi lingkaran bunga.

    Namun, seni rambut mula dilupakan menjelang 1940an apabila kenangan lebih mudah disimpan dalam bentuk gambar. Tambahan pula, “seni ini tidak diiktiraf secara meluas kerana ia kebanyakannya dihasilkan oleh wanita,” jelas Evans. “Jadi dalam muzium besar, tidak banyak karya seperti ini.”

    Neneknya menyelamatkan sebahagian karya seni daripada dibuang, menulis buku, dan mengajar kelas untuk melatih generasi baharu dalam seni unik ini.

    Selalunya, seni rambut disimpan dalam bingkai hiasan dengan kaca asal. Apabila neneknya menawarkan untuk membeli bingkai, peniaga antik kerap menawarkan untuk membuang rambutnya.

    “Tapi dia akan cakap, ‘Jangan buang, biarkan saja di situ,’” kata Evans.

    Neneknya kemudian memberikan kad perniagaannya dan meminta mereka menghubunginya jika menjumpai karya serupa. Tidak lama kemudian, peniaga antik dari seluruh negara mula menelefon.

    “Kalau ada rambut, dia akan dapatkannya,” kata Evans, yang kadang-kadang turut serta dalam pemburuan koleksi baharu.

    Koleksi itu berkembang termasuk sebuah lingkaran bunga yang mengandungi rambut semua wanita dalam League of Women Voters dari Vermont pada tahun 1865. Sepasang lingkaran bunga berbentuk bulan sabit menyimpan rambut dua orang adik-beradik yang kepalanya dicukur sewaktu memasuki biara. Malah, ada beberapa karya yang turut mengandungi unsur taksidermi.

    Bingkai-bingkai itu menghiasi rumahnya dan sekolah dandanan rambut yang dijalankan bersama suaminya.

    Koleksi disimpan di bawah katil dan dalam almari.

    Akhirnya, pasangan itu membeli sebuah bangunan bekas pusat jualan kereta, terletak di antara restoran makanan segera dan pusat cucian kereta, untuk dijadikan muzium.

    Daya tarikan unik muzium itu turut menarik perhatian selebriti. Pelakon dan pelawak Phyllis Diller mendermakan lingkaran bunga diperbuat daripada rambut keluarga turun-temurun.

    Personaliti TV, Mike Rowe pernah merakam episod Somebody’s Gotta Do It di sini.

    Terdapat juga kemungkinan beberapa helai rambut milik Ozzy Osbourne disimpan dalam koleksi, selepas Cohoon sempat memotong sedikit rambutnya ketika lawatannya ke muzium, meskipun Evans masih belum menemuinya.

    Evans tidak mengetahui jumlah sebenar yang dibelanjakan neneknya untuk koleksi itu, tetapi menjangkakan nilainya kini mencecah lebih AS$1 juta.

    Sementara itu, Genevieve Keeney, ketua National Museum of Funeral History di Houston, teruja ketika meneliti koleksi barang kemas peringatan kematian, termasuk pin kecil berisi rambut seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang meninggal dunia pada tahun 1811.

    “Saya rasa penting untuk mendidik masyarakat tentang kematian,” kata Keeney, yang juga pengurus jenazah bertauliah.

    “Masyarakat kita sering tidak membantu orang ramai memahami emosi sebenar apabila kematian berlaku.”

    Evans sendiri bergelut dengan pelbagai emosi ketika perlahan-lahan memindahkan legasi neneknya ke institusi lain.

    “Saya mahu orang ramai melihat semua ini kerana itulah yang dia inginkan,” kata Evans.

    “Tapi bila tempat ini kosong nanti, pasti hati saya akan berasa hancur.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda