BOGOTA, 8 MAC – Di bawah bumbung yang retak dan bocor, Andres Cuervo, sedang berusaha memulihkan seekor burung kolibri berwarna-warni yang telah mati untuk koleksi ornitologi Universiti Nasional Colombia, negara yang mempunyai lebih banyak spesies burung daripada negara lain.
Kondor, helang dan bahkan burung yang telah pupus menerima ‘kehidupan kedua’ di meja ahli biologi itu, yang memeliharanya untuk sains dan keturunan.
Tetapi berbanding ditempatkan di dalam persekitaran yang bersih dengan suhu dan kelembapan yang terkawal, koleksi berharga kira-kira 44,000 ekor burung itu sebaliknya ditempatkan dalam laci besi boleh ditarik keluar di sebuah bangunan awam usang.
Namun, pada Januari, hujan lebat di Bogota menimbulkan risiko ke atas koleksi Cuervo.
“Air hujan jatuh berjurai-jurai di atas kabinet-kabinet ini,” katanya, sambil menunjuk, jelas masih tertekan kerana hampir kehilangan simpanan burungnya yang ‘tidak ternilai’.
Satu laci mengandungi ratusan burung kolibri biru dan hijau yang setiap satunya tidak besar daripada lebah. Cuervo juga memperlihatkan seekor burung helang harpy yang besar dengan lebar sayap lebih dua meter.
Terdapat juga beberapa spesimen burung yang telah pupus pada tahun 1970an.
“Kami mengeluarkan baldi, plastik (kain), apa sahaja untuk melindungi koleksi,” kata rakannya, Gary Stiles, seorang ahli ornitologi Amerika yang terkemuka yang telah bekerja di Colombia sejak 1990 dan menemui beberapa spesies baharu. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/03/P21-A-AFP_09032024.jpg)