Komander Finland berdepan dakwaan salah laku

HELSINKI, 9 Jan – Komander Angkatan Udara Finland, Jeneral Sampo Eskelinen, dan bekas komander unit Sayap Carelia pasukan itu, Kolonel Markus Paivio, berdepan dakwaan salah laku ketenteraan, lapor agensi berita China Xinhua memetik stesen penyiar rasmi Yle.

Paivio didakwa ‘berkelakuan tidak wajar’ dan ‘memberikan layanan tidak wajar kepada orang bawahannya’ semasa latihan ketenteraan di Lapland pada September 2017, manakala Eskelinen didakwa tidak memulakan siasatan ‘dengan segera’.

Pertuduhan terhadap Paivio termasuk dakwaan fitnah. Pasukan pertahanan itu memaklumkan media semalam bahawa Eskelinen akan meneruskan tugasnya buat masa ini.

“Semakan mengenai langkah-langkah yang mungkin diambil terhadap beliau telah dimulakan,” kata Max Arhippainen, yang merupakan pengarah maklumat pasukan pertahanan itu.

Beliau tidak menyatakan tempoh yang diperlukan untuk berbuat demikian.

Paivio telah dipindahkan ke bahagian lain daripada jawatan komander sayap pada Februari 2018, namun masih bertugas.

Memandangkan kes itu membabitkan pegawai atasan, ia telah diproses oleh Mahkamah Tinggi Helsinki. Mahkamah belum menetapkan tarikh perbicaraan.

Di bawah undang-undang Finland, pertuduhan itu akan diumumkan sepenuhnya apabila perbicaraan bermula.

Eskelinen mahupun Paivio telah menafikan pertuduhan itu. – Bernama