Wednesday, September 18, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komedi jadi rutin baharu banduan wanita Paraguay

    ASUNCION, 13 SEPT – Seorang banduan wanita, Adriana Torres dijangka dibebaskan tidak lama lagi dari penjara wanita terbesar di negara Amerika Selatan, Paraguay.

    Tetapi dia mengatakan bahawa dia tidak perlu tergesa-gesa untuk keluar dari penjara itu.

    “Saya juga tidak bercadang untuk melarikan diri,” jelas ibu kepada lima anak itu bergurau sambil membongkok mengakhiri persembahan komedinya di halaman penjara.

    Torres, 33 tahun, ialah salah seorang daripada sedozen banduan di Pusat Tahanan Wanita Buen Pastor di ibu negara Paraguay, Asuncion yang telah menjalani latihan selama dua bulan dalam bengkel yang dikendalikan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Corazon Libre (Free Heart).

    Pertubuhan itu menyediakan latihan komedi untuk membantu banduan bersiap sedia untuk kehidupan di luar semula.

    Seperti kebanyakan banduan di sana, kisah Torres juga adalah kisah suram tentang kes dadah dan desakan hidup. Dia yang pernah bekerja di sebuah stesen minyak, telah ditangkap mencuri kerana ketagihannya lantas dihukum dipenjara selama enam bulan, meninggalkan bapanya untuk menjaga anak-anaknya yang berumur antara satu hingga 15 tahun.

    “Apabila ayah saya mendapat tahu saya berada di penjara, dia datang berjumpa saya dan berkata: ‘Saya lebih suka melihat kamu di sini (penjara) daripada di luar sana,” katanya kepada AFP sambil meninggalkan pentas dengan sorakan riuh daripada rakan-rakan banduannya.

    Salah satu persembahan dari banduan.

    Dia berkata dia mula mengambil dadah lima tahun lalu, merempat di jalanan selama dua tahun dan ‘benar-benar di tahap paling rendah’ dalam kehidupannya sebelum dia dihumban ke penjara.

    Carolina Romero, pelawak dan guru komedi yang mengendalikan bengkel komedi menggalakkan Torres mengupas pengalaman lalunya walaupun ianya menyakitkan, untuk mengasah potensi komedi mereka.

    “Apa yang menyemarakkan kejayaan komedi adalah tragedi, tetapi ia memerlukan kemahiran dan usaha tertentu supaya dapat menerima realiti dan boleh mentertawakannya,” kata Romero kepada AFP.

    Atas & Bawah: Antara pengisian bengkel yang dijalankan.

    Dalam persekitaran penjara yang suram dan semakin sesak dengan penghuni itu, persembahan komedi benar-benar membantu populasi 550 dengan baik meskipun pusat tahanan itu sebenarnya mempunyai kapasiti untuk 200 banduan,

    Beberapa banduan, yang duduk di atas kerusi plastik merah beberapa baris mengelilingi pentas, tertawa melihat persembahan.

    Suasana semasa persembahan.

    Brisa Leguizamon Ferreira, seorang warga Argentina berusia 25 tahun, melawak tentang membesar dalam keluarga yang sangat besar dan rapat.

    Selepas saudara datang melawat, “rumahku kelihatan seperti telah diserbu oleh polis,” dia bergurau.

    “Itulah keluarga. Kami selalu juga bergaduh, tetapi apabila ada hari jadi, kami semua hadir. Jika ada yang sakit, kami semua ada melawat. Jika ada sesuatu berlaku, kami semua akan muncul, tetapi sekarang tolak satu! Terima kasih!,” dia mengakhiri persembahan dengan menjerit gembira.

    Leguizamon dan suaminya telah ditangkap di Asuncion pada 2023 atas tuduhan mengedar dadah merentasi sempadan di bandar Rosario, Argentina. Dia enggan membincangkan kesnya, sebaliknya lebih suka menumpukan perhatian kepada kemasyhuran pentasnya selama lima minit.

     Antara suasana semasa persembahan komedi berkenaan. – AFP

    “Pada mulanya saya gementar, tetapi mereka (Romero dan pasukannya) banyak membantu saya,” katanya kepada AFP. “Saya percaya bahawa ini boleh menjadi alat (komedi) yang baik untuk dunia luar, sekarang kita perlu melihat sama ada kita berjaya.”

    Romero yakin bahawa jika mereka boleh menghasilkan punchline yang betul dan gabungan kisah peribadi dan latar belakang mereka yang menarik, mereka boleh berjaya dalam kerjaya komedi.

    “Walaupun masyarakat mungkin tidak mengupah anda dengan latar belakang jenayah seperti ini dalam profesion lain, tetapi dalam komedi kemungkinan besar mereka mahu mengambil anda,” katanya.

    Kesesakan banduan sememangya masalah kronik di 18 pusat penjara Paraguay, dengan kapasiti untuk menempatkan 11,000 orang tetapi sendat dengan lebih 18,000 banduan.

    Pengarah pusat tahanan Buen Pastor,  Yenny Delgado memberitahu AFP bahawa bengkel komedi itu bertujuan untuk membantu menjadikan kehidupan lebih menyenangkan untuk banduan yang berminat untuk mengambil bahagian kerana tingkah laku yang baik. Bagi mereka yang terpilih, “sememangnya jenaka adalah sesuatu yang boleh melegakan,” kata Romero. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda