Tuesday, January 7, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komen netizen menyedihkan Amelia Henderson

    Pelakon Malaysia, Amelia Henderson, 28, sedih dilabel degil dan sombong oleh warga netizen apabila memilih terus melawan kes saman membabitkannya dengan A Aida Production Sdn Bhd.

    Memetik dari Berita Harian, Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson berkata, beliau tidak pernah menduga akan berdepan kes mahkamah yang sedikit sebanyak mencalarkan reputasi sepanjang 27 tahun membina karier seni.

    “Saya tahu ada komen netizen yang mendakwa saya degil, sombong dan sebagainya kerana membuat keputusan terus perjuangkan kes ini yang memerlukan turun naik mahkamah.

    “Kalau orang lain, saya rasa mungkin mereka tidak akan memilih jalan ini (tindakan undang-undang). Saya sendiri pun tak pernah membayangkan akan berdepan situasi ini.

    “Bayangkan selama 27 tahun saya terbabit dalam industri sejak berusia 10 bulan, tempoh dilalui sangat lama. Jadi, tentulah saya sayangkan kerjaya yang sepenuh jiwa saya serahkan,” katanya dengan linangan air mata.

    Pelakon filem Pulau itu berkata, beliau memang terkesan dengan isu saman yang dilaluinya, namun pada masa sama, tetap yakin dengan rezeki datang daripada Tuhan.

    “Saya memang ambil berat kerjaya seni. Apatah lagi, saya tahu tak buat apa-apa perkara yang boleh menghancurkan kerjaya yang sudah saya bina seumur hidup ini.

    “Apapun, saya tetap positif dengan memikirkan rezeki lain. Sebabnya, saya percaya urusan rezeki bukan di tangan manusia, semuanya Tuhan tentukan,” katanya.

    Terdahulu, Hakim Zulqarnain Hassan ketika menyampaikan keputusannya dalam talian berkata, mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan permohonan Amelia untuk menggantung perintah permohonan maaf kepada kepada A Aida menerusi syarikatnya, A Aida Production Sdn Bhd.

    Berhubung perintah pembayaran ganti rugi, Zulqarnain turut membenarkan penangguhan bayaran melebihi RM200,000 itu.

    Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan agar wang itu dimasukkan ke dalam akaun bersama yang akan dikendalikan oleh kedua-dua firma guaman mewakili Amelia dan A Aida.

    Pada 7 April lalu, Zulqarnain memerintahkan Amelia membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A Aida menerusi syarikatnya kerana didapati melanggar kontrak penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

    Hakim turut membenarkan permohonan A Aida untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Amelia daripada menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya, selain perlu memohon maaf kepada plaintif menerusi akaun Instagram dan memadam video didakwa mengandungi kenyataan fitnah. – Agensi

    Amelia ketika sidang media selepas hadir bagi keputusan kes saman A Aida Production Sdn Bhd terhadapnya berhubung pelanggaran kontrak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada bulan Apil lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda