Khamis, November 20, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komet 3I/Atlas tidak hentam bumi – NASA

    WASHINGTON, 20 NOV – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), kelmarin, menegaskan bahawa Komet 3I/ATLAS tidak akan menghampiri Bumi atau mana-mana planet lain dalam sistem suria, lapor Sputnik/RIA Novosti.

    “Tidak, itu tidak akan berlaku… Semua yang berada dalam sistem suria kita akan baik-baik saja,” kata Nicky Fox, pentadbir bersekutu di Direktorat Misi Sains NASA, ketika ditanya sama ada komet itu mungkin melintasi berhampiran mana-mana planet.

    Pemangku Pengarah Bahagian Astrofizik NASA, Shawn Domagal-Goldman menjelaskan bahawa gas dan habuk yang terhasil ketika komet meruap, bertindak seperti dorongan kecil ibarat enjin roket mini yang mengubah haluan komet.

    Beliau berkata hal itu lazimnya menyebabkan perubahan kecil pada orbit komet dan keadaan ini sedang dipantau rapi.

    3I/ATLAS mula dapat dilihat dari Bumi pada awal November. Beberapa media asing turut membuat spekulasi bahawa komet itu mungkin kapal angkasa makhluk asing. 

    Komet 3I/Atlas meluncur di ruang angkasa, 190 juta batu dari bumi pada 19 November. – AP

    Teleskop Angkasa Hubble merakam imej komet berkenaan pada 21 Julai ketika ia berada 279 juta batu dari Bumi, menurut NASA.

    Sementara itu, agensi akhbar Jerman, dpa, melaporkan bahawa NASA kelmarin mengeluarkan imej Komet 3I/ATLAS, objek ketiga yang dikenal pasti memasuki sistem suria.

    Imej komet berkenaan dihasilkan melalui pemprosesan data dan gabungan imej teleskop dari September hingga Oktober, menurut NASA.

    Imej itu menunjukkan satu tompokan cahaya kabur kecil.

    “Ingat, ruang angkasa itu sangat luas. Tiada apa yang benar-benar sedekat yang kita fikirkan dan semua pemerhatian ini amat sukar dilakukan,” kata Tom Statler dari NASA pada sidang media ketika imej itu dibentangkan.

    Statler berkata komet itu melintasi dalam jarak 32 juta kilometer dari Marikh pada awal Oktober, ‘memberi peluang kepada kapal angkasa kita di Marikh untuk membuat pemerhatian dekat.’

    Setakat ini, tidak banyak yang diketahui tentang objek itu yang bergerak pada kelajuan 209,000 kilometer sejam merentasi sistem suria.

    Komet itu dijangka membuat lintasan terdekat dengan Bumi pada 19 Disember, kira-kira 270 juta kilometer dari planet kita.

    Sebagai perbandingan, jarak purata antara Bumi dan matahari adalah sekitar 150 juta kilometer. Pakar menegaskan objek itu tidak menimbulkan sebarang ancaman. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda