Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Negara Brunei Darussalam telah meningkatkan langkah keselamatan sibernya secara berterusan dengan mewujudkan unit jenayah siber khas, perundangan dan peraturan serta proses Bantuan Undang-undang Bersama untuk menangani jenayah rentas sempadan.
Perkara tersebut ditekankan oleh Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa yang sedang menghadiri Persidangan Agung Pendakwa Raya ASEAN-China ke-13 di Hanoi, Republik Sosialis Vietnam.
Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad menyampaikan kenyataan itu sebagai menyokong usaha memerangi jenayah berteknologi tinggi serta mengiktiraf kepentingan kerjasama dan kolaborasi berterusan dalam kalangan negara anggota, agensi awam dan swasta untuk memerangi jenayah berteknologi tinggi serta menegakkan kedaulatan undang-undang.
Persidangan itu, yang diadakan dari 4 hingga 8 Disember, merupakan perhimpunan tahunan ketua-ketua agensi pendakwaan dari negara anggota ASEAN dan Prokurator Rakyat Tertinggi Republik Rakyat China.
Persidangan yang bertemakan Meningkatkan Kerjasama Antarabangsa dalam Memerangi Jenayah Berteknologi Tinggi dan Jenayah Transnasional pada tahun ini dipengerusikan oleh Ketua Pendakwa Raya The Supreme People’s Procuracy Of The Socialist Republic Of Vietnam, Le Minh Tri.
Ketua delegasi negara anggota yang mengambil bahagian berkongsi pencapaian, amalan terbaik dan cabaran masing-masing dalam memerangi jenayah teknologi tinggi dan jenayah transnasional.
Pada akhir persidangan, satu Deklarasi Bersama telah ditandatangani oleh ketua-ketua delegasi dari Republik Rakyat China dan negara anggota ASEAN untuk mengesahkan komitmen mereka untuk meningkatkan kerjasama dalam memerangi jenayah transnasional termasuk jenayah berteknologi tinggi berdasarkan prinsip kesaksamaan, saling percaya dan manfaat bersama, selaras dengan undang-undang negara dan antarabangsa.