Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited galak inovasi, bangun teknologi digital

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Menurut Indeks Pembangunan ICT 2024 yang diterbitkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (ITU), baru-baru ini, Negara Brunei Darussalam mencatat 95.1 mata, satu peningkatan berbanding tahun sebelumnya, 94.8 dan kekal sebagai salah sebuah negara di ASEAN yang mempunyai markah tertinggi di mana purata markah global adalah 74.8.

    Prestasi luar biasa Brunei adalah disebabkan lebih 90 peratus jumlah penduduknya yang mempunyai akses kepada Internet dan menikmati perkhidmatan rangkaian mudah alih 4G dan 5G.

    Pelancaran perkhidmatan rangkaian mudah alih 5G dan penaikan taraf kelajuan jalur lebar tetap pada 2023 juga merupakan sebahagian daripada inisiatif negara untuk mengembangkan sektor ICT dengan matlamat meningkatkan infrastruktur digital yang merupakan teras kepada transformasi digital.

    Di samping itu, baru-baru ini, liputan rangkaian mudah alih juga telah dikembangkan di serata negara ke kawasan-kawasan pedalaman seperti Kampung Melilas dan Kampung Sukang di Ulu Belait, jelas Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dalam ucaptama di Sesi Digital Brunei Stakeholders Town Hall yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran Kalendar Acara Digital Brunei ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Ir Haji Mohammad Nazri menyampaikan ucaptama pada acara berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyempurnakan pelancaran Kalendar Acara Digital Brunei, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara yang menghadiri sesi yang berlangsung di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Dalam ucaptama, Ir Haji Mohammad Nazri mendedahkan mengenai pencapaian negara dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2023 di mana Brunei telah meloncat lima kedudukan iaitu daripada tangga 92 ke kedudukan 87 dalam kalangan 132 ekonomi.

    Pencapaian itu, jelasnya, mencerminkan usaha berterusan dalam menggalakkan inovasi dan pembangunan teknologi di negara ini.

    Namun begitu, masih terdapat ruang bagi peningkatan yang lebih besar termasuk pembangunan sebuah Rangka Kerja Kebangsaan bagi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang lebih komprehensif, bermatlamat untuk meningkatkan lagi daya saing Brunei dan landskap inovasi negara dalam bidang sains dan teknologi.

    Melalui pelaksanaan efektif dan teliti, negara mampu meningkat maju ke tahap lebih tinggi dalam arena inovasi global selain memperbaiki kedudukan negara dalam GII masa hadapan.

    Ir Haji Mohammad Nazri seterusnya menyentuh mengenai tiga projek utama yang dikenal pasti oleh Majlis Ekonomi Digital (DEC) sebagai tulang belakang transformasi yang menjadi tonggak utama pembangunan ekosistem digital serta kondusif untuk menjana transformasi digital iaitu Hab Maklumat Kebangsaan (NIH), Identiti Digital dan Hab Pembayaran Digital.

    Mengenai projek-projek berkenaan, beliau berkata NIH yang dilancarkan pada Jun 2021 memudahkan perkongsian data selamat dan penggunaan di semua agensi kerajaan. Projek itu adalah amat penting dalam meningkatkan kolaborasi antara agensi dan memastikan keputusan dibuat berpandukan data.

    Beliau menyatakan dalam perjalanan menuju ke arah sebuah negara digital, Identiti Digital merupakan mercu tanda kritikal di mana ia akan dilancarkan secara lembut pada hujung 2024.

    Inisiatif itu, tambahnya, akan menyediakan pengenalan yang dikeluarkan kerajaan serta fungsi log masuk tunggal yang selamat untuk semua perkhidmatan kerajaan.

    Sementara itu, Hab Pembayaran Digital, yang juga dijangka dilancarkan pada hujung 2024, merupakan sebuah platform yang memudahkan transaksi segera dan lancar di antara pengguna, memacu kecekapan ekonomi dan keterangkuman kewangan.

    Dengan menerima pakai pembayaran digital, ulas Ir Haji Mohammad Nazri, kita mengambil langkah signifikan ke arah sebuah masyarakat tanpa tunai, meningkatkan kemudahan dan sekuriti untuk semua.

    Di samping itu, Ir Haji Mohammad Nazri turut mengongsikan mengenai perkembangan terkini landskap ICT Negara Brunei Darussalam dan menyeru kolaborasi dalam kalangan semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama iaitu untuk memacu transformasi digital Brunei.

    Majlis diteruskan dengan pelancaran Kalendar Acara Digital Brunei oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary. Kalendar acara itu merupakan sebuah platform di bawah Digital Brunei bagi sesiapa untuk menerokai dan mengetengahkan acara-acara digital seperti persidangan, pameran, bengkel, pelancaran dan program-program pendekatan.

    Majlis kemudian menyaksikan pembentangan taklimat mengenai Digital Brunei oleh Pengurus Perhubungan Korporat AITI dan Pengurus Projek Digital Brunei, Dayang Nurmajdina Afiah binti Haji Mohd Yusuf Thani yang mengetengahkan matlamat Digital Brunei serta aktiviti-aktiviti yang akan datang.

    Acara Town Hall berkenaan diakhiri dengan sesi perbincangan pihak berkepentingan yang dikendalikan oleh Pengarah Urusan Confer Sdn Bhd, Allen Lai yang membincangkan keutamaan digital pihak berkepentingan.

    Digital Brunei merupakan sebuah program utama di bawah DEC yang bermatlamat membina Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang menerima pakai teknologi digital dan inovasi sepenuhnya dalam zaman kini menerusi kisah-kisah kejayaan dan inovasi, meningkatkan kemahiran asas dan literasi digital, keterangkuman digital dan penglibatan komuniti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda