KUALA LUMPUR, 20 Sept – Malaysia kekal komited dan meletak keutamaan paling tinggi dalam menghapuskan kegiatan perburuhan paksa, perhambaan moden dan pemerdagangan manusia menjelang 2030, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
“Kami mempunyai undang-undang nasional yang cukup dalam hubungan ini, terutamanya Kanun Keseksaan dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Berikutan langkah memperketatkan undang-undang kami pada 2015, jumlah pendakwaan dan sabitan semakin meningkat dengan ketara.
“Sejak 2016, pihak berkuasa kami telah menyediakan ruang bagi mangsa pemerdagangan manusia dengan kebebasan untuk bergerak dan diambil bekerja,” katanya.
Anifah berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan Malaysia pada forum ‘Pemimpin Peringkat Tertinggi: Gesaan Bagi Tindakan Untuk Menamatkan Perburuhan Paksa, Perhambaan Moden dan Pemerdagangan Manusia’ yang berlangsung di New York.
Beliau menegaskan bahawa dalam memastikan respons negara yang padu dan diselaraskan dengan baik, timbalan perdana menteri Malaysia mempengerusikan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran sejak 2015.
Menteri Luar berkata selain itu, usaha Malaysia dipandu oleh Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2016-2020), sebagai susulan kepada pelan pertama yang merangkumi tempoh 2011-2015.
“Pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan ini diselia oleh lima prinsip panduan iaitu tanggungjawab kerajaan; penyertaan masyarakat sivil; layanan terhadap mangsa berdasarkan hak asasi manusia; koordinasi di kalangan pelbagai agensi di peringkat kerajaan dan dengan pertubuhan antarabangsa serta badan bukan kerajaan; dan akhirnya; penilaian sistematik dan ketahanan,” katanya. – Bernama