KUALA LUMPUR, 17 Mac – George Ang dari Inter Mark Resources Sdn Bhd (IMRSB) yang mengambil alih A&W Malaysia daripada KUB Malaysia Bhd (KUB) pada September lepas berazam menjadikan rangkaian restoran makanan segera paling lama di negara ini, kembali popular.
Ang merupakan nama yang tidak asing bagi industri makanan dan minuman berikutan beliau merupakan pengasas Manhattan Fish Market dan Pengarah Revenue Valley Sdn Bhd yang mengendalikan MFM, Tony Roma’s dan NY Steak Shack di Malaysia, Singapura dan Thailand.
Ketua Pegawai Eksekutif bagi IMRSB dan A&W Malaysia itu berkata, beberapa siri inisiatif bagi mempertingkatkan nilai dan perkhidmatan telah dilaksanakan sejak usaha pengambilalihan itu dimuktamadkan pada tahun lepas, sekali gus membolehkannya untuk mencapai sasaran jualan RM100 juta bagi 2019 berbanding RM70 juta yang dicatat pada 2018.
“Kami sedang berusaha mendapatkan jualan sebanyak RM100 juta tahun ini menerusi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, kira-kira 10 peratus daripada jualan.
“Disebabkan itu kami bercadang membuka 15 dan 16 outlet lagi tahun ini,” katanya kepada Bernama. – Bernama