Friday, December 2, 2022
23.8 C
Brunei

-

Komited kekalkan seni arca realistik

PHNOM PENH – Dengan jari jemari diliputi dengan tanah liat melekit, Bin Chharan merenung pada gumpalan tanah liat yang besar. Dengan pergerakan yang pantas, dia mula mengukir jisim yang tidak berbentuk.

Dalam masa yang singkat, satu figura manusia telah tercipta. Dari kepala hingga kaki, arca itu kelihatan hampir nyata.

Chharan yang kini tinggal di kampung Prey Doeum Thnoeng II, komune Prey Doeum Thnoeng, daerah Sithor Kandal wilayah Prey Veng mengimbau bahawa dia dilahirkan dalam keluarga petani miskin di kampung Porsvay Ming, komune Ampil Tapoak, daerah O’Reang-ou, wilayah Tbong Khmum.

Disebabkan oleh kemiskinan keluarganya, dan mempunyai lapan orang adik beradik, pada usia tujuh tahun Chharan hanya bersekolah setengah hari pada setiap hari.

Dia menghabiskan sisa masanya mencari bahan sekerap yang boleh dijualnya, atau memikul air palm di atas bahu untuk dijual di kampung. Pada usia 15 tahun, dia bertanya kepada ibu bapanya sama ada dia boleh memasuki Pagoda Porsvay Ming dan menjadi seorang sami.

Bin Chharan mengukir patung mendiang Beat Richner, pengasas Hospital Kanak-kanak Kantha Bopha, yang diperbuat daripada tanah liat.– ANN/The Phnom Penh Post
Antara arca realistik yang dibuat oleh Bin Chharan. – ANN/The Phnom Penh Post

Chharan berkata selepas dua tahun, dia bersara daripada menjadi sami. Dia telah bertemu dengan seorang pelukis yang bekerja pada patung Buddha di pagoda, dan memintanya untuk mengajarnya. Dia mengikutinya dari sebuah pagoda ke pagoda yang lain di daerah berlain selama tiga bulan sebelum dia merasakan dia sudah cukup bersedia untuk bekerja sendiri. Dia meminta dua abangnya bekerja bersamanya, melukis di pagoda sendirian.

Namun, kerana ingin mengukuhkan dan meningkatkan lagi kemahiran lukisannya, pada tahun 2005 dia datang ke Phnom Penh, mencari sekolah seni yang boleh dia belajar. Malangnya, dia tidak mampu membayar yuran pengajian, tetapi mula belajar apa yang dia boleh dari luar pagar Royal university of Fine Arts.

Dia berkata walaupun dia mendapat sedikit pengalaman dengan cara ini, dia masih belum berpuas hati dengan tahap kemahiran yang dicapainya.

Atas cadangan seorang wanita di Kratie, dia pergi belajar di Siem Reap. Di sana dia belajar melukis, mengukir kayu, batu, tanah liat sehingga dia merasakan dia telah menguasai seninya.

Pengukir itu berkata bahawa selepas menamatkan pengajian dari sekolah seni di Siem Reap, dia mendapat kontrak melukis di pagoda Prey Doeum Thnoeng di daerah Sithor Kandal, wilayah Prey Veng, di mana dia pertama kali bertemu isterinya dan mereka kini sudah memiliki empat orang anak.

Semasa pandemik, dia tidak boleh pergi dan bekerja di pagoda, dan mula melukis dan mengukir tanah liat di rumah.

“Saya sangat bosan di rumah, kerana saya sudah biasa keluar dan bekerja. Ketika itulah saya memutuskan untuk menggunakan semua kemahiran yang telah saya pelajari supaya orang ramai mengenali kerja saya.

“Pada masa itu, saya memilih seorang wira Kemboja, Patriach Agung Chuon Nath, bapa sastera Khmer, sebagai inspirasi saya,” katanya.

Chharan berkata kemahiran yang digunakannya setiap hari di pagoda adalah lukisan landskap dan ukiran batu serta peleburan tembaga.

Walau apa pun, dia memutuskan untuk melaksanakan tugas yang paling sukar yang dia boleh lakukan dengan membentuk arca yang realistik.

Beliau berkata hanya beberapa orang yang tinggal yang memiliki kemahiran tersebut dan ini bermakna dia boleh mengenakan bayaran premium untuk kerjanya, tetapi ini juga bermakna standardnya mestilah tinggi secara konsisten.

Untuk arca yang dibentuk seperti potret, dia mengenakan bayaran AS$800 untuk acuan yang diperbuat daripada simen atau plastik.

Jika pelanggan memesannya daripada tembaga atau kayu berat, ia mungkin berharga sehingga AS$4,000.

Sosok manusia keseluruhan yang diperbuat daripada getah berharga AS$2,000, tetapi harganya boleh meningkat kepada AS$8,000 jika ia diperbuat daripada tembaga.

Sebuah arca tembaga mungkin mengambil masa dua atau tiga bulan untuk disiapkan, manakala bahan yang lebih murah boleh disiapkan dalam masa sebulan.

Pada masa ini, dia tidak memperoleh pendapatan yang cukup tinggi untuk mempunyai kehidupan yang selesa.

Beliau berkata jika orang ramai ingin menyokong dan mengekalkan warisan seni arca, mereka harus membantunya dengan membeli lukisan dan arcanya atau bahkan menugaskannya untuk mencipta arca yang realistik.

Chharan berkata pada masa akan datang, dia akan mengajar kemahiran ini kepada generasi akan datang dan tidak akan mengenakan bayaran kepada golongan muda yang datang untuk belajar daripadanya.

Beliau tidak akan mengenakan sebarang bayaran kerana mahu generasi Kemboja akan datang mengekalkan legasi arca Khmer. – ANN/The Phnom Penh Post

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

India sandang jawatan Presiden G20, Majlis Keselamatan PBB

NEW DELHI, 1 DIS – India menyandang jawatan presiden G20 dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mulai hari ini, lapor Sputnik. G20 ialah forum antara kerajaan...
- Advertisment -