Komited kembangkan bakat tempatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Empat orang kakitangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) kini ditempatkan di pejabat-pejabatnya di luar negara iaitu Dubai dan Singapura untuk memperkayakan lagi pengalaman kerja mereka.

Sementara itu, dua lagi kakitangan sedang menjalani penempatan kerja bersama se-buah bank antarabangsa yang berprestij di Malaysia.

Ini merupakan salah satu usaha BIBD untuk melahirkan tenaga kerja tempatan yang terus kompetitif dalam arena antarabangsa.

BIBD dalam kenyataannya menekankan, dengan kemunculan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan usaha Brunei ke arah Negara Pintar, bank berkenaan komited untuk memastikan tenaga kerja mereka sedia dan dapat memenuhi perubahan yang akan dibawakan oleh trend-trend global dan tempatan yang menarik ini.

Ke arah itu, BIBD telah memulakan kumpulan transformasi dalaman untuk memastikan bahawa kakitangannya dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran digital dan kecekapan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam revolusi digital seterusnya.

Para pelatih GMT BIBD bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar Khokhar dan warga pengurusan kanan BIBD semasa satu acara pada Jun 2019. – Gambar serahan BIBD

Selain itu, bank berkenaan juga telah memfokuskan ke atas meningkatkan kemudahan pembelajaran dengan menggunakan alat-alat dan platform pembelajaran dalam talian.

Pada 2018, BIBD telah diiktiraf oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dengan Outstanding International Collaboration Award (OICA) bagi pelaburan kepada pembangunan bakat, khususnya usaha-usaha mereka untuk meningkatkan kemahiran profesional dan mengembangkan keupayaan-keupayaan kewangan Islam.

Timbalan Pengarah Urusan, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dipetik sebagai berkata, “Alhamdulillah, usaha-usaha kami untuk memba-ngunkan peluang-peluang dan keupayaan bagi modal insan negara ini, terutamanya dalam kewangan Islam, selaras dengan komitmen kami untuk menyokong kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

“Menjadi harapan kami bahawa usaha-usaha pembelajaran dan pembangunan kami akan melengkapkan kakitangan kami dengan alat-alat pasaran yang terus memperbaiki pengalaman pelanggan kami,” tambahnya.

Kenyataan turut menyata-kan, komitmen BIBD untuk mempersiapkan bagi masa depan juga menjangkau sehing-ga diiktiraf sebagai sebuah institusi yang boleh membantu bakat-bakat baharu tempatan berkembang ke arah kebaikan negara secara keseluruhannya.

Program Graduate Management Trainees (GMT) adalah salah satu inisiatif berterusan BIBD untuk membangunkan bakat-bakat tempatan bagi pemimpin masa depan yang membawa BIBD lebih dekat ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Menurut BIBD, pada Julai 2019, bank berkenaan telah menerima enam graduan baharu di bawah program berkenaan. Mereka dipilih selepas menjalani proses pemilihan yang ketat dan sebaik menyertai bank, mereka diberikan peluang untuk meluaskan pengetahuan teknikal, kemahiran kepimpinan latihan dan pendedahan dalam pekerjaan yang berterusan.