Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited kerja, Aaron Aziz tolak tepi rasa sakit

    Pelakon Datuk Aaron Aziz berkongsi pengalaman cemas apabila terpaksa dimasukkan ke hospital ketika menjalani penggambaran filem aksi terbaharu berjudul Banduan.

    Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata, kejadian itu berlaku selepas beberapa hari menjalani penggambaran babak pertarungan yang memerlukan tenaga dan komitmen tinggi.

    Kata Aaron, tubuhnya mula terasa sakit dan lemah selepas penggambaran, namun tetap meneruskan kerja.

    “Filem ini saya berlawan dengan ramai orang, jadi babak lawan itu kadang-kadang makan masa dalam dua hari. Ada satu babak pengarah mahu saya melakukannya dengan hanya satu take saja, sudah tentu kalau boleh saya mahu berikan yang terbaik.

    “Saya selalu tanya dengan pengarah sama ada dia berpuas hati atau tidak. Mungkin dah berusia, selepas saya shooting babak-babak berlawan itu sakit lagi tak hilang-hilang.

    “Saya dah makan ubat anti inflamasi pun sama juga, bila saya habis shooting pada pagi tu terus ke hospital,” katanya kepada mStar.

    Aaron berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media tayangan perdana filem Banduan yang diadakan di TGV KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Dalam pada itu, Aaron memberitahu doktor mengesahkan dia mengalami dehidrasi teruk dan perlu mendapatkan rehat secukupnya.

    Pun begitu, aktor berkenaan tetap meneruskan kerja kerana tidak sanggup membiarkan produksi menanggung kerugian akibat kelewatan jadual penggambaran.

    “Bila di hospital doktor check darah dan mendapati badan saya sudah dehidrasi. Saya kena minum banyak air untuk buang semua toksin dalam badan menerusi air kencing.

    “Selepas empat bag drip air masuk dalam badan, bacaan sudah stabil tapi doktor suruh saya cuti dalam dua atau tiga hari untuk rehat. Saya kata maaflah kena discharged malam itu juga kerana ada penggambaran lagi.

    “Doktor cakap saya gila, tapi bagi saya itulah komitmen sebagai pelakon. Bila kita diberi kepercayaan, peluang untuk berlakon kita kena korbankan mana yang sakit, apa yang tak boleh kena bolehkan,” ujarnya.  

    Dalam perkembangan lain, Aaron membintangi Banduan iaitu filem adaptasi popular Tamil berjudul Kaithi.

    Filem Banduan membawakan versi Malaysia yang lebih dekat di hati penonton. Selain Aaron, filem ini turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Zul Ariffin, Fadhli Masoot dan Adlin Aman Ramli. Banduan bakal menemui penonton di seluruh pawagam bermula hari ini. – Agensi

    Aaron hiraukan sakit demi komitmen berlakon dalam filem Banduan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda