Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Sebagai menandakan era baru dalam hubungan bersama, Negara Brunei Darussalam dan Filipina hari ini mengesahkan semula komitmen mereka untuk mengukuhkan dan mendalamkan lagi hubungan perdagangan dan ekonomi dua hala serta kerjasama kebudayaan berikutan mesyuarat membuahkan hasil di antara pemimpin kedua-dua negara itu di Istana Malacanang, sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 di Manila.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada masa ini sedang berada di Republik Filipina bagi keberangkatan negara selama dua hari atas jemputan Presiden Republik Filipina, Rodrigo Roa Duterte serta untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, Sabtu ini.
Mengimbau kembali penubuhan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara pada Januari 1984, kedua-dua pemimpin berkenaan dalam kenyataan bersama menyatakan pertumbuhan mantap persahabatan kedua-dua negara dalam tempoh tiga dekad ini dan kerjasama dalam ASEAN meraikan ulang tahunnya yang ke-50 tahun ini.
Untuk menyemai benih masa depan yang dikongsi bersama, kedua-dua pihak mengiktiraf potensi bagi mendalami lagi hubungan dua hala dengan agenda yang berkembang, menerusi dialog kekal dan pertukaran di semua peringkat merentas pelbagai sektor kerajaan dan masyarakat awam, menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin itu juga mengalu-alukan peningkatan interaksi di kesemua peringkat dan bersetuju untuk mengukuhkan mekanisme rundingan dua hala sedia ada.
Dalam hal ini, kedua-dua pemimpin menyetujui persidangan awal Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Suruhanjaya
Dua Hala (JCBC) ke-3 untuk mengembangkan lagi kerjasama di antara kedua-dua negara.

Semasa mesyuarat dua hala itu, kedua-dua pemimpin itu menekankan peningkatan penglibatan politik kedua-dua negara yang dibuktikan dengan pertukaran kerap para pegawai peringkat tinggi dan kerjasama aktif di antara institusi pertahanan dan tentera.
Presiden Duterte telah menyatakan penghargaannya terhadap peranan penting negara ini dalam proses damai kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (GPH-MILF), terutama dalam mekanisme Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT).
Presiden Filipina itu juga menekankan kempen pentadbirannya menentang dadah haram dan menyeru kerjasama yang lebih daripada rakan-rakan ASEAN dalam menangani perosak berkenaan, selaras dengan tema serantau, ‘Melindungi Komuniti ASEAN Daripada Dadah Haram’.
Dalam pada itu, Baginda Sultan menyatakan rasa puas hati bahawa kedua-dua negara telah bekerjasama dalam menangani isu berkenaan menerusi ASEAN dan mengalu-alukan usaha lanjut dalam mengukuhkan kerjasama dalam bidang ini.
Kedua-dua pemimpin itu juga telah membincangkan cara untuk mengukuhkan dan mendalamkan lagi hubungan perdagangan dan ekonomi dua hala serta mengulangi komitmen untuk meneroka lanjut pelbagai peluang termasuk pertukaran dan kerjasama perniagaan yang lebih meluas.
Dalam hal ini, mereka mengalu-alukan penandatanganan memorandum persefahaman di antara Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri Negara Brunei Darussalam dan Jabatan Perdagangan dan Perindustrian Republik Filipina mengenai Industri Pembangunan dan Promosi Eksport Halal untuk meneroka peluang dalam pasaran global bagi produk-produk dan perkhidmatan halal yang semakin berkembang.
Kedua-dua pemimpin itu juga menyatakan kepuasan terhadap kerjasama tenaga di antara Brunei National Petroleum Company Sdn Bhd (Petroleum BRUNEI) dan Philippines National Oil Company (PNOC).
Baginda Sultan mahu kedua-dua pihak mengenal pasti bidang-bidang kerjasama yang berpotensi dalam pelbagai aktiviti huluan dan hiliran untuk manfaat bersama kedua-dua negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga melahirkan penghargaan atas sumbangan 23,000 warga Filipina dalam pembangunan sosioekonomi Brunei Darussalam. Presiden Duterte juga memetik sumbangan penting pekerja Filipina di luar negara kepada ekonomi Filipina.
Kedua-dua pemimpin itu mengalu-alukan penandatanganan perjanjian di antara Brunei dan Filipina mengenai kerjasama kebudayaan. Perjanjian itu bermatlamat untuk meningkatkan rangkaian institusi dan pertukaran rakyat dalam bidang kebudayaan dan seni.
Kerjasama itu menggalakkan pertukaran lawatan, latihan, hubungan lebih erat dalam kalangan institusi kebudayaan, pertukaran barangan, perlindungan warisan kebudayaan dan pertukaran artis-artis.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyatakan sokongan dan kerjasama penuh negara ini kepada Filipina dalam mempengerusikan ASEAN, yang juga akan bertepatan dengan ulang tahun ke-50 penubuhan persatuan serantau itu dan mendoakan yang terbaik kepada kerajaan dan rakyat Republik Filipina dalam persediaan mereka.
Kedua-dua pihak juga tidak sabar-sabar bagi ulang tahun ke-50 ASEAN dan mesyuarat-mesyuarat ASEAN yang produktif sepanjang tahun ini.
Kedua-dua pemimpin itu juga menekankan pencapaian ASEAN dalam tempoh 50 tahun ini, bangkit sebagai persatuan serantau yang penting dan menekankan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan negara anggota dalam menggerakkan proses pembangunan komuniti serta mendukung keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan pelaksanaan penuh dan efektif Deklarasi Tata Laku Pihak-pihak di Laut China Selatan dan mengalu-alukan perkembangan dalam konsultasi mengenai Rangka Kerja Tata Laku di Laut China Selatan.
Kedua-dua pemimpin itu juga mengesahkan semula komitmen kepada pembangunan BIMP-EAGA untuk mempromosikan pertumbuhan lebih mapan dan inklusif serta memupuk hubungan antara rakyat di sub-rantau ini, di samping menekankan pelengkapan inisiatif yang bertindak sebagai blok binaan ke arah merealisasikan Wawasan ASEAN 2025.
Baginda Sultan dan Presiden Duterte juga mengulangi semula kepentingan mengukuhkan kerjasama dalam sektor-sektor buruh, keselamatan makanan, pertanian, pendidikan dan kewangan, serta menyatakan harapan supaya kedua-dua belah pihak memuktamadkan dokumen dalam hal ini untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan penghargaan mendalam kepada Presiden Duterte atas alu-aluan mesra yang diberikan kepada Baginda dan delegasi Negara Brunei Darussalam.