Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Brunei Darussalam tetap komited dalam melaksanakan agenda dan matlamat pembangunan mapan (SDG) 2030 yang selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dalam mencapai penduduk berpendidikan dan berkemahiran tinggi, kehidupan berkualiti, dan ekonomi yang dinamik serta mapan.
Meskipun usaha dalam beberapa bidang seperti pembasmian kemiskinan sudah berkembang maju, usaha-usaha masih diperlukan untuk menangani cabaran-cabaran yang lain seperti perubahan iklim.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan Bengkel Kerja Voluntary National Review (VNR) bagi Brunei Darussalam di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Turut hadir pada bengkel kendalian Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dengan kerjasama Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Bangsa-bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UN ESCAP) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) tersebut adalah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin serta para pegawai kanan dari beberapa kementerian berkenaan.
Sementara itu, PBB diwakili oleh Katinka Weinberger daripada Bahagian Alam Sekitar dan Pembangunan, UN ESCAP dan disertai oleh beberapa pegawai daripada UNDP.

Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew lagi untuk menangani cabaran-cabaran tersebut negara-negara di seluruh dunia perlu terus bekerjasama.
Menyentuh tentang usaha-usaha Negara Brunei Darussalam dalam mencapai perkembangan negara, Yang Berhormat Dato menekankan rakyat sebagai salah satu aset penting negara dan seterusnya menekankan komitmen kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk terus melabur dalam rakyat melalui pendidikan dan perkhidmatan kesihatan berkualiti, kewangan inklusif dan tenaga kerja yang produktif.
“Sebagai ekonomi yang kecil, kami menyokong regionalisme terbuka, serta sistem perdagangan pelbagai hala yang stabil, telus dan saling menguntungkan serta memanfaatkan yang kami terus sokong, melalui kerjasama dengan rakan niaga kami,” jelasnya.
Beliau kemudiannya menjelaskan mengenai bagaimana Brunei Darussalam dapat meneruskan usaha diversifikasi ekonomi bagi memastikan kemapanan ekonomi dalam jangka masa panjang, iaitu melalui lima sektor utama iaitu minyak dan gas hiliran, makanan, pelancongan, perkhidmatan, dan teknologi makluma dan komunikasi (ICT), di mana aktiviti yang semakin meningkat dalam sektor tersebut akan meningkatkan pertumbuhan industri, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Brunei.
Selain itu, Yang Berhormat Menteri juga berkata bahawa mereka terus menggalakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meneroka dan mengambil bahagian dalam rantaian nilai serantau dan global yang boleh terjadi menerusi perjanjian perdagangan bebas, serta inisiatif keusahawanan yang dilaksanakan oleh Darussalam Enterprise (DARe), termasuk yang disasarkan untuk usahawan muda.
Beliau turut menyentuh mengenai tumpuan pihak kerajaan dalam tahun kebelakangan ini iaitu untuk membangunkan infrastruktur sokongannya sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus memperbaiki taraf hidup rakyatnya dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan.
Ini termasuklah inisiatif bagi memodenkan infrastruktur telekomunikasi yang baru-baru ini diadakan, bertujuan bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi dan Internet yang berdaya saing dan cekap.
“Melalui usaha sedemikian, rakyat boleh menjangkakan peningkatan yang ketara dalam ketersediaan dan kualiti perkhidmatan telekomunikasi pada harga yang lebih berpatutan.”
Selain itu, beliau juga turut mengongsikan pembangunan utama yang lain termasuk pembinaan jambatan Temburong yang akan meningkatkan pergerakan penduduk, pelancong dan perniagaan di antara daerah itu dan bahagian lain di Brunei Darussalam yang mana menurutnya akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam sektor lain seperti ekopelancongan, pertanian, pembuatan dan kebudayaan.
Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa semua usaha yang dilakukan itu diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat Brunei, bukan hanya bagi generasi pada masa ini tetapi juga untuk generasi masa depan, sesuai dengan Agenda 2030.
“Mencapainya bukan satu perkara yang mudah, memandangkan kerumitan dan besarnya proses dan impak-impak yang berpotensi, bekerja ke arah SDG memerlukan pendekatan dan inisiatif holistik dan menyeluruh yang cekap, mapan dan diselaraskan dengan baik dalam kalangan semua pemegang berkepentingan yang berkaitan,” jelasnya.
Di hujung ucapannya, Yang Berhormat Dato berkata bahawa sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab, Brunei Darussalam akan terus bekerjasama dengan PBB dan rakan serantau dan antarabangsa yang lain bagi kemakmuran bersama.
Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam akan menyertai sesi VNR yang pertama pada bulan Julai ini yang menunjukkan komitmen Brunei untuk mencapai SDG.