Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 28 JUN – Dengan menyedari kepentingan pengurusan mampan alam sekitar sebagai kunci utama dalam kemapanan perkembangan manusia, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah menganjurkan aktiviti penanaman pokok pagi kelmarin.
Aktiviti itu sejajar dengan komitmen mereka untuk melindungi alam sekitar serta menyokong usaha Brunei Darussalam dalam mempromosikan kemapanan alam sekitar.
Inisiatif yang diterajui oleh Jabatan Penerokaan dan Perkhidmatan Teknikal Geofizik, itu berjaya menanam sejumlah 200 pokok di sekitar kawasan J18, berdekatan dengan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lorong Tiga Selatan, Seria.
Aktiviti bermanfaat itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada mindset I Am BSP, yang berperanan untuk memberi galakan kepada kakitangan syarikat tersebut untuk bekerjasama tidak kira bidang apa yang mereka ceburi, begitu juga buat orang ramai.
Pusat Tapak Semaian Perhutanan di bawah Jabatan Perhutanan di Sungai Liang telah membekalkan dua jenis pokok yang ditanam, yang termasuk Penaga Laut dan Ketapan, kedua-duanya telah dikenalpasti mempunyai nilai tinggi dalam biodiversiti bagi penghutanan semula di kawasan tersebut, menurut rangka kerja penanaman pokok alam sekitar.
“Kita perlu melakukannya secara semula jadi. Pokok-pokok mengurangkan kesan pemanasan global, menambah turunan hujan, mengurangkan pencemaran udara dan meningkatkan biodiversiti, dan oleh itu memainkan peranan kecil ke arah memberikan impak besar pada alam sekitar, bahkan ia adalah seronok untuk melakukan semua ini bersama sebagai inisiatif kerja berkumpulan,” kata Pengurus Penerokaan BSP, Gijs Holstege.
Bahkan, dengan ahli-ahli TSG sudah mengalihkan perhatian mereka pada perlindungan alam sekitar, pasukan itu mula menjadikan alam sekitar sebagai salah satu daripada komitmennya dalam kesihatan dan keselamatan.
