Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Negara Brunei Darussalam menghadiri Perhimpunan Agung Pelancongan Bangsa-bangsa Bersatu (UN Tourism) sesi ke-26 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi bermula 9 November hingga kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), di sini, perhimpunan bertema AI-Powered Tourism Redefining the Future, yang juga menandakan ulang tahun ke-50 UN Tourism itu dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Ahmed Al-Khateeb.
Perhimpunan agung berkenaan menghimpunkan lebih 1,400 orang peserta dari 148 buah negara termasuk seramai kira-kira 90 menteri, 17 orang timbalan menteri dan 70 duta yang mencerminkan komitmen global untuk memajukan inovasi dan kemampanan dalam sektor pelancongan.
Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, diiringi oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi dan pegawai-pegawai dari JKP.
Perhimpunan itu melaporkan ketibaan pelancong antarabangsa telah mencapai 1.5 bilion pada 2024, hampir kembali kepada tahap pra-pandemik, dengan resit pelancongan global keseluruhannya berjumlah AS$1.7 trilion.


Pada suku pertama 2025, ketibaan meningkat lima peratus dan di sebalik cabaran geopolitik dan inflasi, permintaan pelancongan global kekal berdayatahan dengan unjuran pertumbuhan tiga hingga lima peratus bagi tahun berkenaan.
Perhimpunan berkenaan turut mengalu-alukan pelantikan Shaikha Al Nowais dari Emiriah Arab Bersatu sebagai Setiausaha Agung UN Tourism bagi tempoh 2026-2029.
Salah satu acara utama perhimpunan berkenaan adalah perbincangan mengenai peranan transformatif kecerdasan buatan (AI) dalam membentuk masa depan pelancongan.
Penerimaan pakai Deklarasi Riyadh bagi Masa Depan Pelancongan mengesahkan semula komitmen negara-negara anggota untuk memanfaatkan teknologi baharu secara bertanggungjawab, menggalakkan inovasi dan memajukan pembangunan pelancongan yang mampan dan inklusif.
Perhimpunan juga meluluskan Program Kerja UN Tourism untuk 2026–2027, yang dibentangkan oleh Setiausaha Agung UN Tourism. Dibangunkan melalui perundingan meluas antara negara anggota, program itu bertujuan memperkukuh sektor pelancongan global dengan memajukan kemampanan, keterangkuman dan daya tahan sambil menggalakkan inovasi, pelaburan dan transformasi digital.
Aktiviti di bawah program berkenaan juga menggariskan kepentingan pendidikan, pembangunan kemahiran dan perkongsian untuk membina tenaga kerja pelancongan yang siaga untuk masa hadapan.
Setiausaha Agung yang akan tamat tempoh juga melaporkan pelaksanaan Draf Program Kerja 2024–2025, mengetengahkan kemajuan di bawah Keutamaan 1, antara lain, yang menumpukan kepada peningkatan daya saing melalui statistik pelancongan yang mantap, piawaian PBB, data dan pemantauan pasaran.
Dalam rangka kerja itu, Negara Brunei Darussalam akan menerajui salah satu inisiatif dengan menganjurkan Bengkel Serantau UN Tourism bagi Mengukur Kemampanan dalam Pelancongan untuk Asia dan Pasifik pada November 2025 di Negara Brunei Darussalam.
Bengkel serantau itu berfungsi sebagai platform yang berharga untuk meningkatkan kapasiti serantau dalam mengaplikasikan rangka kerja dan metodologi antarabangsa untuk menilai dimensi ekonomi, sosial dan alam sekitar pelancongan, mencerminkan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam untuk mempromosikan pertumbuhan pelancongan yang didorong oleh data, berdaya tahan dan inklusif.

