Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Komited majukan penyertaan wanita dalam ekonomi negara

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Negara Brunei Darussalam komited dalam memajukan penyertaan wanita dalam ekonomi sebagai salah satu tonggak utama Wawasan Brunei 2035.

    Ke arah itu, Brunei sedang meneroka pelbagai langkah dasar untuk meningkatkan penyertaan ekonomi wanita, termasuk mewujudkan ekosistem kondusif melalui bantuan kewangan, pembinaan kapasiti dan bimbingan untuk usahawan wanita serta penggubalan dasar yang inklusif.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin, semasa mewakili negara dalam Dialog Dasar Peringkat Tinggi Wanita dan Ekonomi di Incheon, Republik Korea, baru-baru ini.

    Dialog yang dipengerusikan oleh Pemangku Menteri Kesetaraan Gender dan Keluarga Republik Korea, Puan Yang Terutama Kim Hyun Sook. Bertemakan Promoting Women’s Economic Participation for Sustainable Growth, ia membincangkan pendekatan dasar bagi memperkukuh peranan wanita dalam ekonomi sejajar dengan APEC Putrajaya Vision 2040, La Serena Roadmap dan Aotearoa Plan of Action.

    Dalam kenyataan, Dr Hajah May Fa’ezah turut mengongsikan inisiatif seperti Akademi Perniagaan Industri, Brunei Mentors for Entrepreneurs Network dan ASEAN Women’s Entrepreneurs Network telah memupuk pengiktirafan serta hubungan rentas sempadan.

    Sejak 2016, Akademi Perniagaan Industri telah melatih kira-kira 10,300 wanita dengan sekurang-kurangnya 57 peratus perniagaan yang terlibat adalah perniagaan yang dimiliki oleh wanita.

    Dialog dimulakan dengan sesi sektor swasta-awam yang menumpukan perbincangan panel terhadap pengukuhan sistem penjagaan, galakan keseimbangan kerja-kehidupan serta memudahkan penyertaan wanita dalam ekonomi sejajar kemajuan teknologi digital dan AI.

    Ekonomi-ekonomi ahli APEC seterusnya mengeluarkan kenyataan Women and the Economy Forum (WEF) yang boleh diakses melalui laman sesawang APEC di www.apec.org.

    Dr Hajah May Fa’ezah bergambar ramai semasa Dialog Dasar Peringkat Tinggi Wanita dan Ekonomi di Incheon, Republik Korea, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KEWANGAN DAN EKONOMI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda