Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Persekutuan Peniaga-Peniaga Melayu Brunei (PPPMB) terus komited dalam memperkasa kebajikan dan kesejahteraan ahlinya melalui jalinan strategik bersama sektor kesihatan swasta.
Ke arah itu, PPPMB dengan M Clinic telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Ibu Pejabat PPPMB, Beribi, baru-baru ini.
MoU yang menandakan permulaan kerjasama rasmi antara kedua-dua pihak itu telah ditandatangani oleh Presiden PPPMB, Dr Haji Abdul Latif manakala M Clinic diwakili oleh Dr Aammton Haji Alias yang juga terdiri daripada ahli PPPMB.
Melalui kerjasama ini, ahli-ahli PPPMB akan menikmati kadar diskaun istimewa sebanyak 5 peratus bagi perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh klinik berkenaan di mana diskaun untuk rangkaian penuh perkhidmatan klinik.
Ini termasuk konsultasi am, pemeriksaan kesihatan, vaksinasi, dan prosedur perubatan khusus lain yang ditawarkan oleh klinik berkenaan.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menjaga tahap kesihatan para ahli, tetapi juga menyokong produktiviti dan kesejahteraan komuniti usahawan tempatan secara menyeluruh.


