Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Komited pastikan rakyat Malaysia nikmati internet 5G’

    KOTA KINABALU, 17 SEPT – Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil, berkata Kerajaan MADANI komited memastikan rakyat Malaysia menikmati internet berkelajuan tinggi 5G.

    Beliau berkata setakat ini, sebanyak 7,191 tapak 5G telah siap dibangunkan di seluruh negara dengan 564 di Sabah dan 551 di Sarawak manakala tahap liputan kini 81.9 peratus di kawasan berpenduduk.

    “Liputan 5G di kawasan berpenduduk di Sabah adalah 68.9 peratus manakala di Sarawak pula 62.5 peratus saya amat gembira dengan pembangunan telekomunikasi di negara ini untuk kepentingan rakyat kita,” katanya dalam video ucapan pada Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan di Padang Merdeka, semalam. Sambutan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

    Turut hadir Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

    Fahmi, yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024, berkata beliau menghargai sokongan dan komitmen tidak berbelah bahagi semua pihak yang menjayakan sambutan Hari Malaysia terutama Kerajaan Negeri Sabah selaku tuan rumah.

    “Marilah kita bersama-sama menjiwai semangat cinta akan negara dengan memperkukuh jati diri masing-masing sebagai dukungan ke arah Malaysia lebih hebat,” katanya. – Bernama

    Fahmi Fadzil semasa menurunkan tandatangannya pada simbolik perasmian Pesta Seni Tradition In Tune 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 16 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda